Isu ATM, veteran, keselamatan negara: Suara PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepentingan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran, termasuk hal ehwal kebajikan mereka, serta keselamatan negara menjadi antara isu penting yang disuarakan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Mej Jen (B) Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh), atas pengalaman dan kewibawaan beliau, menjadi wakil PN yang telah memperjuangkan isu-isu berkaitan diketengahkannya secara istiqamah sejak memasuki persidangan lebih setahun lalu.

Antaranya isu penstrukturan semula Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pelarasan pencen veteran ATM dan kemudahan menunaikan fardu Haji, serta keselamatan negara dari kebanjiran pendatang asing.

Beliau mengemukakan semua isu tersebut dengan mengambil bahagian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri serta Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja, sepanjang minggu pertama Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga ini.

Menurut beliau, penstrukturan LTAT adalah sangat penting untuk memastikan ia berfungsi dan memberi keuntungan yang lebih baik pada masa akan datang, demi manfaat kepada angkatan tentera dan veteran tentera.

“Sebagaimana yang kita tahu, LTAT merupakan entiti di bawah Kementerian Pertahanan yang mana entiti ini menguruskan caruman lebih kurang 120,000 anggota tentera yang berkhidmat.

“Jadi setakat ini, saya pun 40 tahun menjadi tentera, saya tak nampak apakah bentuk bantuan atau bentuk sumbangan yang diberi oleh LTAT bagi membantu angkatan tentera dan juga veteran-veteran angkatan tentera termasuk saya,” katanya. 

Kerajaan juga gesanya, diminta melaksanakan pelarasan kepada veteran yang berpencen sebelum 1 Januari 2013 dan selepas itu sebagaimana keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang selari peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Dato’ Khlir turut mendesak kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memastikan keberkesanan operasi membanteras warga asing yang masuk secara haram dan secara sah tetapi tidak keluar dari negara ini apabila tamat tempoh permit mereka.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan kepada soalan berkaitan mengakui perlu melihat dan mengembangkan secara teliti isu terbabit dengan lebih mendalam agar tidak bersikap melulu dan terburu-buru. 

“Pada masa yang sama kita perlu mengimbangkan cadangan-cadangan tersebut secara cermat serta juga inklusif, mengambil pandangan semua pihak yang terlibat, pihak berkepentingan termasuk anak-anak syarikat dan sebagainya.

“Jadi apabila proses ini semua dapat kita lakukan dengan cermat dengan teliti.. Insya-Allah kita akan pastikan LTAT akan dapat berjalan dan bergerak sebagaimana yang diharapkan oleh semua,” katanya.

Manakala dalam isu pencen veteran, kerajaan menurutnya sedang melaksanakan kajian penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang meliputi skim perkhidmatan ATM termasuk tuntutan veteran sebagaimana diputuskan Mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar pula dalam jawapannya menjelaskan bahawa tiada pengagihan atau peruntukan kuota khusus bakal haji kepada mana-mana agensi atau kumpulan.

“Tabung Haji (TH) pada masa kini sedang bekerjasama bersama ATM dan LTAT. Kerjasama ini bagi memudahkan pembukaan akaun, pendaftaran potongan gaji dan pendaftaran haji melalui program Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) yang bermula pada 2022. 

“Ini merupakan usaha TH untuk membantu anggota tentera dan anak-anak mereka supaya menabung untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, JIM telah mengambil tindakan penguatkuasaan, selain fokus kepada majikan tidak boleh menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Namun begitu keberadaan warga asing di negara ini tidak hanya menjadi tanggungjawab suatu pihak sahaja sebaliknya melibatkan peranan pelbagai agensi dan pihak, termasuk rakyat negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -