KWSP: Pengeluaran bersasar bantu pencarum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik usaha kerajaan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijangka memuktamadkan polemik pengeluaran simpanan bersasar melalui pembentukan akaun tiga atau akaun fleksibel pada April depan.

- Advertisement -

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, isu tersebut pernah dibangkitkan beliau pada perbahasan Belanjawan 2023 dengan mencadangkan kepada kerajaan melaksanakan inisiatif tersebut bagi meringankan beban rakyat yang terhimpit ketika ini.

Beliau berkata peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus sebelum ini kepada 8 peratus telah memburukkan lagi pendapatan rakyat, selain kejatuhan nilai mata wang Ringgit.

“Saya juga memahami ada implikasi terhadap pengeluaran bersasar KWSP ini, namun penegasan kami di peringkat PN, inisiatif ini adalah berbentuk ‘short term measure’ kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan diberikan pukal kepada semua.

“Oleh itu syarat untuk mereka yang layak ditetapkan oleh kerajaan, maka dengan ini kerajaan boleh mengawal sebarang implikasi daripada kebenaran tersebut,” katanya pada Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pelbagai pihak termasuk NGO sebelum ini mendesak Kerajaan Madani supaya mempertimbangkan sewajarnya bagi membolehkan lebih 100,000 pencarum KWSP agar dapat mengeluarkan wang simpanan masing-masing secara bersasar, bukan kepada semua.

Terbaru satu memorandum diserahkan kepada wakil ahli Dewan Rakyat oleh Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mendesak kerajaan melaksanakan pengeluaran tersebut. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -