
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bersejarah itu dicadangkan agar ianya berada di bawah syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Bhd sekiranya berlaku perubahan pemilikan.
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, bangunan warisan itu boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong dan barangkali mungkin boleh jadikan khazanah ini sebagai Muzium Sejarah KTMB bagi menjadi salah satu destinasi pelancongan di Ibu Kota.
Jurutera dan teknologis profesional itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
“Ibu pejabat KTMB merupakan warisan negara yang mempunyai reka bentuk dan nilai estetika melalui kepelbagaian ragam hiasnya. Bangunan yang berusia ratusan tahun ini menggambarkan kemuncak Pembangunan Sejarah Keretapi di Tanah Melayu.
“Di mana ia telah menjadi ibu pejabat KTMB sejak sekian lama. Namun, saya mendapat maklumat yang pekerja-pekerja KTMB sekarang dalam proses dipindahkan ke bangunan baru. Dan difahamkan, warisan negara ini tidak lagi menjadi ibu pejabat KTMB selepas pemindahan selesai sepenuhnya.
“Jadi saya mohon penjelasan kepada perubahan ibu pejabat KTMB ini, apakah rasionalnya dan yang paling penting sekali, apa akan jadi kepada ibu pejabat KTMB yang sedia ada ini?” soalnya.
Khairil Nizam turut mengemukakan cadangan agar hidangan Asam Rong atau Asam Rum atau Asang Rong atau Asa Ro dan ikan patin tempoyak sebagai makanan warisan negara kerana ia dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, kedua-dua makanan berasal dari Jarantut itu lebih wajar dan boleh meningkatkan pendapatan rakyat setempat serta dapat meningkatkan kehadiran pelancong dalam dan luar negeri ke Jerantut. – HARAKAHDAILY 4/3/2024











