Tingkat operasi elak nelayan asing kaut hasil perikanan negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berharap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri mempertingkatkan lagi rondaan dan operasi di perairan negara khususnya Laut China Selatan agar hasil laut negeri ini tidak dirampas oleh nelayan asing.

- Advertisement -

Menurut beliau, kegiatan ekonomi negeri ini turut disumbangkan oleh aktiviti perikanan yang mana pada tahun lepas Terengganu mencatatkan jumlah pendaratan ikan bernilai RM237.8 juta iaitu 46.7 tan matrik.

“Berdasarkan kepada jumlah besar tersebut sudah semestinya ia menjadi satu tarikan kepada nelayan negara asing untuk turut mengaut hasil perikanan negara yang agak merunsingkan,” katanya.

Tambahnya, kemasukan bot-bot nelayan asing dengan kegiatan penangkapan ikan tanpa kawalan juga mungkin akan merosakkan tukun-tukun tiruan yang dilabuhkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

“Justeru saya berharap atas kerjasama jitu akan diberikan agar isu pencerobohan bot nelayan asing ini dapat dibendung dengan sebaik mungkin,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Maritim Perkasa 2024 di Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Ketua Polis negeri, Dato’ Mazli Mazlan.

Menurutnya lagi, kerjasama daripada Maritim Malaysia amat perlu dalam menjaga sasaran penting negara iaitu pelantar-pelantar minyak yang berada di perairan Terengganu dan Kelantan terutamanya ‘unwind’ platform yang sering terjejas kepada pencerobohan.

“Saya merasakan YB timbalan menteri perlu membantu APMM Terengganu untuk meningkatkan lagi keupayaan aset yang lebih canggih dari segi kelengkapan yang lebih berteknologi dan persenjataan yang lebih moden bagi menghadapi musuh seperti lanun dan anasir pencerobohan di sempadan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -