Karnival Maritim rancakkan sektor pelancongan Terengganu

Tengku Seri Bijaya Raja
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil memberi komitmen dan sokongan penuh terhadap perlaksanaan Karnival Maritim Perkasa 2024.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan karnival yang diadakan selama tiga hari itu akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong.

Beliau juga berharap ia satu program tahunan di antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan kerajaan negeri.

Tambahnya, selaras dengan usaha untuk memacu sektor pelancongan, beliau ingin memaklumkan bahawa di bawah Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri yang diterajui Datuk Razali Idris telah menyusun dan melaksanakan program kalendar acara tahunan 2024 Terengganu.

Katanya, usaha itu adalah satu contoh komitmen kerajaan negeri dalam merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

“Penganjuran karnival ini diharap akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kunjungan pelancong ke Terengganu dengan sasaran 4.2 juta orang terdiri daripada pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Saya kira program anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri Terengganu,” katanya yang mewakili kerajaan negeri ketika berucap pada Majlis Perasmian Maritim Perkasa di Dataran Jambatan Angkat di sini, hari ini.

Beliau juga yakin Karnival Maritim Perkasa 2024 itu akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan khususnya kepada penduduk Kuala Terengganu.

Demonstrasi aset laut dan udara Maritim Malaysia.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Maritim Malaysia kerana telah memilih Terengganu sebagai tempat penganjuran Karnival Maritim Perkasa 2024.

“Kepercayaan ini juga adalah pengiktirafan kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu apatah lagi pada hari ini kita menerima YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut sama hadir ke negeri Terengganu, negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik…Datuk Seri, insya-Allah.

“Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin kerana pasukan beliau begitu gigih memastikan bahawa karnival yang diadakan di Terengganu ini Terengganu sebagai tuan rumah ini menjadi satu karnival yang Berjaya, insya-Allah.

“Karnival Maritim Perkasa 2024 membuka lembaran baru sebenarnya kepada kelendar negeri Terengganu, kerajaan negeri sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi tuan rumah pada acara yang membuka pintu kepada ribuan pengunjung ke negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, sesuai dengan tema ‘Melestarikan Warisan Maritim Negara’, acara itu bukan sahaja temasya tetapi satu platform kepada negeri ini untuk memperkenalkan keindahan dan kepelbagaian alam ciptaan Allah SWT dan memberi peluang kepada rakyat untuk mempamerkan budaya serta juga warisan Terengganu.

“Karnival hari ini diharapkan akan mengangkat nama Terengganu sebagai destinasi pelancongan di unggul di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -