
SHAH ALAM: Kerajaan seharusnya cakna isu penempatan rumah panjang di Kampung Bunga Raya Subang, di sini, yang telah dirobohkan, semalam.
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad tidak menjangka bahawa perkara terbabit boleh berlaku.
Mengulas lanjut, beliau dimaklumkan oleh penduduk bahawa mereka telah berjumpa Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, tempoh hari, untuk menyelesaikan isu itu.
“Kerajaan Selangor patut peka dan cakna isu ini. Jangan asyik sibuk nak buat rumah untuk warga asing.
“Rakyat sendiri ini warga, rakyat Malaysia. Perkara ini seolah-olah seperti anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.
“Jadi kenapa hari ini? Saya berharap sangat Dato’ Seri caknalah pasal rakyat, rakyat kat sini teruk sangat. Turunlah padang,” katanya dalam sidang media semasa perobohan rumah, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengamati salinan kronologi penduduk yang telah dibawa kepada Menteri Besar Selangor pada 19 Januari lalu.
“Saya amat sedih dengan apa yang jadi. Setahu saya, bila perpindahan rumah setinggan ke rumah panjang, tidak mungkin kena tunggu sampai 30 tahun.
“Dalam kronologi yang telah saya baca, penduduk telah mendapat pampasan sebanyak RM7,000 untuk satu keluarga, tetapi disimpan oleh Majlis Perbandaran Shah Alam dan dijanjikan selepas 18 bulan akan ada penempatan semula untuk rumah kos rendah berharga RM25,000.
“Selepas 18 bulan, sudah tentu rumah yang dijanjikan itu telah siap dan penduduk boleh pindah ke sana, malah keadaan berlaku di sebaliknya,” katanya yang mesra dengan panggilan Kak Jan.
Tambah beliau, sebahagian penduduk telah mengambil pinjaman perumahan di Ambank Group tetapi tetap tidak berpindah dari situ kerana rumah tidak wujud.
“Hanya 50 daripada 118 keluarga yang diluluskan pinjaman. Apabila mereka dah habis bayar pinjaman, mereka mula sedar bahawa rumah itu tidak wujud.
“Manakala lagi 33 keluarga tidak membayar habis kerana sedar akan perkara itu, maka pihak bank telah senarai hitam nama mereka dan jatuh muflis.
“Tapi bagaimana pula nasib penduduk, K Rishi Kumar yang telah membayar pinjaman sehingga berjumlah RM37,000,” katanya.
Menurutnya, rumah kos rendah yang dijanjikan oleh pemaju cuma berharga RM25,000.
“Oleh demikian mereka dah bayar lebih daripada itu, kenapa jadi macam ini? Apa kerajaan Selangor nak jawab, tolonglah, turunlah padang, panggillah penduduk sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024











