Projek naik taraf LRA Sungai Limau akan disiap segera

Mohammad Munir@Yusoff Zakaria diberi taklimat berkenaan projek menaik taraf LRA Sungai Limau.
- Advertisement -

BALING: Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau akan segera disiapkan apabila masalah teknikal yang dihadapi berjaya diatasi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air, dan Alam Sekitar negeri, Mohammad Munir@Yusoff Zakaria, berkata pihak pemaju kini berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah serta mempercepatkan projek itu disiapkan.

“Projek ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan oleh beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak kontraktor juga berusaha sedaya mungkin agar siap segera kerana projek ini penting kepada puluhan ribu masyarakat sekitarnya,” katanya dalam lawatan kerja ke tapak projek menaiktaraf LRA itu, hari ini. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Dato’ Najmi Ahmad.

Menurutnya, antara tindakan pihak pemaju termasuklah menambah bilangan pekerja dan jentera agar kerja-kerja menaik taraf dapat berjalan lebih lancar.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan LRA tidak dapat disiapkan mengikut jadual ekoran kos kontraktor meningkat berkali ganda susulan berlaku kenaikan harga bahan binaan selepas tender dikeluarkan.

Beliau menggesa agar kerajaan persekutuan menyegerakan kelulusan permohonan kos tambahan bagi pembinaan LRA agar dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Kondisi itu ujarnya menyebabkan kemajuan projek menjadi sedikit perlahan akibat masalah kewangan kontraktor yang dilantik.

Projek menaik taraf LRA Sungai Limau dijalankan oleh kontraktor Widad Builders Sdn Bhd dengan kos berjumlah RM89.9 juta. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -