
PADANG BESAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengambil pendekatan turun ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertemu serta mendengar luahan rakyat.
Program itu katanya akan diadakan secara berperingkat-peringkat.
“Alhamdulillah, terima kasih warga Mata Ayer dan seluruh urus setia yang bertungkus lumus menjayakan pertemuan sebegini.
“Insya-Allah, saya akan terus turun bertemu rakyat di seluruh negeri Perlis secara berperingkat.
“Kritikan, idea dan pandangan akan diambil dan dibawa ke perbincangan pada peringkat selanjutnya demi memastikan rakyat negeri ini dapat mencapai kesejahteraan secara bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika program Ziarah Mahabbah Kasih peringkat DUN Mata Ayer, di Masjid Al-Sobirin, Kampung Gial, di sini, malam semalam. (Foto atas)
“Terima kasih juga kepada seluruh jentera dan agensi yang bersama dalam majlis malam ini. Kita jumpa lagi di DUN seterusnya selepas ini dengan beberapa penambahbaikan, insya-Allah,” tambah beliau.
Sekitar 100 orang masyarakat tempatan termasuk warga Siam hadir ke program tersebut
Dalam masa yang sama, beliau menyampaikan sumbangan hamper kepada 20 orang asnaf dari kalangan penduduk DUN berkenaan. -HARAKAHDAILY 28/2/2024












