
PADANG BESAR: Pengusaha kenderaan serbaguna atau All-Terrain Vehicle (ATV) di Gua Kelam, berjaya memperolehi pendapatan RM1,000 sehari sepanjang musim cuti sekolah ini.
Seorang pekerja, Haikal Zabidi berkata, aktiviti seperti itu diadakan untuk menarik perhatian pengunjung, terutama setelah mereka melintasi jambatan gantung dalam Gua Kelam sepanjang 370 meter.
“Dengan ATV ini suasana lebih meriah dan menarik perhatian orang ramai. Sebelum ini selepas lintas jambatan gantung Gua Kelam, pengunjung lalu begitu saja tanpa sebarang aktiviti lain,” jelasnya.
Katanya lagi, perniagaan itu sudah masuk tahun kedua dan setakat ini pihaknya menyediakan tiga laluan (track) kepada pengunjung yang ingin menaiki ATV.
Ujar beliau, pengunjung boleh memilih sama ada laluan pertama selama 20 minit dengan bayaran RM30, ataupun laluan kedua dengan bayaran RM50 dengan anggaran masa 30 minit.
“Laluan kedua ni pengunjung keluar dari kawasan Gua Kelam dan masuk ke kawasan tasik serta ladang kelapa sawit.
“Manakala laluan ketiga, menyusuri kawasan air terjun Lata Kasih yang lebih mencabar dan mengambil masa lebih kurang satu jam, dengan bayaran RM100,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu pemandu ATV tidak digalakkan menunggang dengan laju kerana risikonya agak tinggi.
Apatah lagi, katanya ketika musim hujan, laluan akan bertambah sukar namun situasi itu ada kalanya semakin menarik perhatian peminat sukan lasak itu.
Dengan menyediakan pengalaman yang berbeza dan menarik, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha tetapi kepada masyarakat setempat dan pelancong yang mencari pengalaman menarik suasana semula jadi.
Kejayaan pengusaha itu menunjukkan kepentingan inovasi dan kreativiti dalam membangunkan sektor pelancongan tempatan. – HARAKAHDAILY 28/2/2024











