Kem Smart Solat semakin dapat sambutan

Para peserta bergambar bersama Kintan Man dan fasilitator.
- Advertisement -

JASIN: Peserta daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam paling ramai menyertai Kem Smart Solat bagi Parlimen Jasin.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Kintan Man berkata, ia susulan saranan beliau agar program tersebut pada kali ini dibuat mengikut DUN bagi kawasan Parlimen yang telah dimenangi PAS.

“Pada tahun ini saya minta agar kawasan-kawasan Parlimen yang kita menang, iaitu Parlimen Jasin dan Parlimen Tangga Batu buat program ni di setiap kawasan DUN dalam Parlimen. Tahniah Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin menyahut cabaran saya.

“Muslimat Jasin dapat mengadakan lima kem Smart Solat, satu di setiap DUN dan DUN Serkam mencatat penyertaan tertinggi dengan 60 orang peserta. Tahniah,” ujar beliau yang mesra dipanggil Bonda Kintan.

Jelas beliau, jumlah penyertaan keseluruhan bagi semua DUN dalam Parlimen Jasin yang terdiri daripada DUN Serkam, Bemban, Rim, Merlimau dan Sungai Rambai itu ialah seramai 200 orang.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup program tersebut yang berlangsung di Surau Umri, Kampung Serkam, di sini, hari ini.

Penutupan rasmi program telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

Tambah beliau lagi, modul kem tersebut telah dilaksanakan lebih sepuluh tahun di seluruh Melaka sehingga terdapat fasilitator yang membantu Kem Smart Solat anjuran dewan itu kini adalah merupakan bekas peserta kem tersebut satu masa dahulu.

“Kita sudah menjalankan Kem Smart Solat ini selama 10 tahun. Ada adik-adik peserta dahulu kini telah menjadi fasilitator bila mereka dah dewasa.

“Mereka menjadi fasilitator dan membantu Kem Smart Solat kita ini. Insya-Allah, kita mengharapkan pembelajaran ini akan diteruskan,” ujarnya.

Kata Kintan, pihaknya akan memperkenalkan Kem Smart Solat untuk remaja berusia 13 hingga 17 tahun pada masa akan datang yang ditingkatkan untuk keperluan remaja.

Ujarnya lagi, peserta-peserta bukan sekadar belajar tentang solat, tetapi mereka juga didedahkan dengan ‘soft skill’ yang diperlukan untuk membentuk jadi diri dan keberanian.

“Selain belajar solat mereka juga belajar skil-skil seperti skil kepimpinan, skil komunikasi yang termasuk dalam soft skill yang kita tidak belajar di sekolah. Skil ini untuk mendidik mereka berani berada di depan khalayak ramai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -