
KOTA BHARU: Projek Gerakan Pertanian Alfalah (GEPA) Pondok dan Tahfiz merupakan salah satu inisiatif dibawah kerajaan negeri Kelantan bagi memperkasa sektor pertanian di pusat tahfiz bagi memperhebat pusat tahfiz ke arah kemahiran TVET melalui sektor berkenaan.
Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu diharapkan dapat mengurangkan jurang antara bidang pertanian dan keagamaan sekaligus merealisasikan agenda ‘Bertani Satu Ibadah’.
“Satu platform perkongsian informasi dan kemahiran teknikal telah diwujudkan kepada penuntut di institusi pondok dan tahfiz.
“Malah, setakat ini sebanyak 35 pondok dan 45 tahfiz yang terlibat dalam Program Gepa Pondok dan Tahfiz hanya 5 sahaja terlibat dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memfokuskan jurusan pengendalian tanaman cendawan (tanah rendah), operasi pengeluaran tanaman, operasi dan penyeliaan dan operasi ladang poltri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Pentaulihan SLDN kepada Pusat Latihan Syarikat SLDN.
Terdahulu beliau turut mengiringi Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan penyampaian penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada Pusat Latihan dan Syarikat SLDN melalui Program Perintis TVET Tahfiz Pertanian Kerajaan Negeri (Gerakan Pertanian Al Falah).
Turut hadir ialah Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi, Wan Roslan Wan Hamat.
Oleh itu, beliau berharap agar program yang diperkenalkan itu dapat dijadikan sebagai batu loncatan untuk lebih maju pada masa akan datang khasnya dalam membantu pelajar-pelajar pondok dan tahfiz mendapat kemahiran tambahan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.
“Tahniah buat kumpulan kerja Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) yang telah menjayakan agenda ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024




















