
ALOR SETAR: Lebih 2,000 muslimat mewakili cawangan masing-masing hadir pada Himpunan Muslimat Cawangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, hari ini.
Majlis yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu merupakan pra-mesyuarat tahunan di semua peringkat yang bermula Februari hingga April hadapan, yang menyaksikan Muslimat cawangan berkenaan mewakili 15 Dewan Muslimat PAS kawasan seluruh Kedah.
Pada majlis itu, hadirin berpeluang mendengar ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Turut memberi ucapan, antaranya Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ts Dr Suffian Yusof dan pengarah program, Norhafizah Fadzil.
Majlis yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu juga menganjurkan pertandingan pidato membentangkan tajuk berkaitan gerak kerja memperkukuhkan parti.
Nur Atiqah Shafie dari Dewan Muslimat PAS Jerai dinobatkan sebagai johan, Hanah Mohd Sofie (Dewan Muslimat PAS Sik) di tempat kedua, sementara tempat ketiga dimenangi Dalilah Ghazali dari Dewan Muslimat PAS kawasan Padang Serai.
Dalam pada itu Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling muncul sebagai penerima anugerah keahlian muslimat PAS teramai (9,136), diikuti Pendang tempat kedua (8,070) dan Sik di tempat ketiga dengan 6,604 keahlian.
Hadiah-hadiah kepada kesemua pemenang telah disampaikan oleh Ustazah Nuridah. – HARAKAHDAILY 2/2/2024




















