
KUALA KEDAH: Mohd Fisol Othman Zainol atau mesra dengan panggilan Koya sememangnya peniaga yang istimewa dan jarang ditemui.
Lebih dua tahun, beliau menyediakan sarapan, minuman pagi, petang dan malam secara percuma kepada sesiapa yang berkunjung di warung comelnya yang terletak di Kampung Kuala Sala.
Rutinnya seharian adalah sebagai pengusaha bengkel cat kereta yang terletak bersebelahan dengan warung percumanya.
Ketika ditemui wakil Harakahdaily, pemilik warung percuma layan diri ini menceritakan khidmat memberi makan dan minum secara percuma ini adalah sebagai amal jariahnya khusus kepada sanak saudara yang telah kembali menemui Sang Pencipta.
“Ini amal kecil saya selain dapat membantu orang lain, pahala ini juga saya niatkan untuk saudara mara yang telah kembali ke rahmatullah.
“Dan saya juga bersyukur kepada Allah kepada memilih saya untuk membuat kerja-kerja amal seperti ini,” jelasnya.
Koya, 50, sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi terpaksa berhenti berikutan pandemik Covid-19, seterusnya mengambil keputusan berkhidmat di kampung di samping menjaga ibunya yang telah tua.
Setiap pagi, beliau akan menyediakan sekurang-kurang 30 bungkus makanan sama ada nasi lemak, bihun atau lain-lain termasuk kuih muih dan disajikan secara percuma kepada pengunjung warungnya.
“Saya tidak menerima dana dari mana-mana pihak. Tetapi sedikit hasil perniagaan saya di bengkel kereta, saya peruntukan untuk kerja amal ini.
“Walau bagaimanapun, saya ada letakkan tabung di hadapan warung untuk sesiapa yang ingin sama-sama menyumbang untuk kerja amal ini.
“Kalau ada yang nak tumpang kenduri, sama ada minta saya sediakan atau mereka sendiri masak dan letak di warung saya, saya alu-alukan,” ujarnya lagi.
Tiada perasaan lain, melainkan kepuasan dan kegembiraan yang sukar dikongsi dengan orang lain apabila dapat melakukan kerja kebajikan seperti itu.
Kata Fisol, beliau tidak kaya dan tidak mempunyai harta tetapi dengan sumbangan kecil seperti itu diharapkan bernilai di sisi Allah dan membantunya di alam sana nanti.
Warung percuma layan diri beliau dibuka sehingga jam 12 tengah malam dan sering menjadi tempat berkumpul warga kampung berbual-bual.
“Kadang-kadang mereka minum tak basuh cawan, esok saya kutip basuh. Saya juga bersihkan kawasan warung tetapi saya tidak kisah sebab bagi saya ini khidmat amal untuk saya bawa berjumpa Allah nanti,” jelasnya lagi.
Beliau sebelum ini sering membawa rakan-rakan keluar belanja makan bukan sahaja di Kedah tetapi sehingga ke Perlis, Pulau Pinang dan lain-lain.
“Saya fikir, bawa kawan-kawan makan di merata tempat tetapi mereka sahajalah. Lebih baik saya buka warung percuma agar lebih ramai yang mendapat manfaatnya,” tambah beliau.
Apabila ditanya, sampai bila beliau akan meneruskan amal bakti seperti itu, katanya sehingga nyawa bercerai dari badan malah amat berharap khidmat yang dilakukan dapat diteruskan oleh orang lain.
Oleh itu kepada orang ramai yang ingin menyumbang bersama beliau menyemarakkan kerja-kerja kebajikan itu bolehlah menghubunginya di talian 019- 4358199. – HARAKAHDAILY 1/2/2024











