Kerajaan jangan terburu-buru mansuhkan pencen penjawat awam

Mohamed Fadzli tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di Kota Bharu, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diminta agar tidak mengambil langkah terburu-buru atau drastik dalam cadangan untuk memansuhkan pencen bagi lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan sebaliknya perlu berfikir lebih teliti termasuk dari segi perundangan dan kesan kepada masyarakat atau masa depan penjawat awam.

- Advertisement -

“Pelaksanaan cadangan ini juga pasti akan memberi kesan kepada perundangan negara berikutan skim pencen sebenarnya telah ada dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan

“Skim pencen adalah satu keistimewaan bagi penjawat awam yang sebahagian besarnya merupakan Bumiputera. Ia dipandang sebagai sesuatu yang penting sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal.

“Pemansuhan pencen mungkin akan menyebabkan hilang satu hak keistimewaan dimiliki oleh golongan penjawat awam yang sebahagian besarnya adalah Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di sini.

Mengulas lanjut, sebaliknya, tegasnya,  kerajaan Persekutuan perlu memikirkan cara terbaik untuk menjamin kehidupan penjawat awam selepas bersara.

Tambah Mohamed Fadzli, skim pencen juga menjadi tarikan utama kepada lepasan universiti untuk menyertai perkhidmatan awam.

“Antara sebab siswazah mahu menyertai sektor awam adalah jaminan pencen selepas tamat perkhidmatan.

“Apabila skim ini sudah tiada, kita bimbang orang ramai tidak lagi berminat kepada perkhidmatan awam, seterusnya beralih kepada sektor swasta dan sebagainya,” ujarnta.

Terdahulu,Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

“Bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.  HARAKAHDAILY  1/2/2024

- Advertisement -