
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong ke-17, Raja Zarith Sofiah yang diputerakan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.
Baginda permaisuri merupakan puteri kepada Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah dan Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin binti Almarhum Raja Ariff Shah.
Raja Zarith Sofiah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah, Kuala Kangsar sebelum baginda permaisuri menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom, juga terletak di Kuala Kangsar, Perak.
Pada September 1972, baginda permaisuri menyambung pelajaran di Cheltenham Ladies’ College di England sebelum meneruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford pada 1979 sehingga menerima Ijazah Bachelor of Arts in Chinese Studies pada 1983.
Baginda permaisuri telah mendirikan rumah tangga bersama Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim pada tahun 1982 yang mana, ketika Sultan Ibrahim bergelar Tunku Mahkota Johor.
Pasangan diraja ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri. Anakanda pasangan di-raja ini terdiri daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar; Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail (mangkat pada 5 Disember 2015, akibat kanser hati); Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri; dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim.
Ketika menjadi isteri kepada Tunku Mahkota Johor, baginda permaisuri dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Isteri Tunku Mahkota Johor Raja Zarith Sofiah.
Justeru itu, setelah kemangkatan ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada 22 Januari 2010, suami baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor.
Bagi menunjukkan perbezaan status asal baginda yang merupakan puteri langsung kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, baginda tidak memakai gelaran Sultanah Johor sebaliknya memakai gelaran yang buat pertama kalinya digunakan dalam sejarah Kesultanan Johor iaitu Permaisuri Johor ketika Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.
Raja Permaisuri Agong dikatakan mewarisi minat dan bakat seni daripada Almarhum ayahanda baginda terutama dalam seni lukis.
Baginda permaisuri turut fasih berbahasa Mandarin, Inggeris, Perancis dan Itali.
Lantaran itu, Baginda permaisuri telah dianugerahi ‘Ilustrator Terbaik’ bagi kategori buku kanak-kanak sempena Majlis Anugerah Buku Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sebagai seorang Permaisuri yang berpendidikan tinggi, Baginda juga menunjukkan minat tinggi terhadap bidang akademia dan merupakan Canselor di Universiti Teknologi Malaysia(UTM).
Baginda juga amat prihatin terhadap aspek kebajikan rakyat Johor, khasnya mereka yang berada dalam golongan B40, dan Baginda Permaisuri turut melancarkan program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019.
Selain itu, sebagai Canselor UTM, Baginda juga melancarkan program ‘Because We Care’ Chancellor’s Fund pada 17 Mac 2016 bagi menjaga kebajikan para pelajar golongan B40 di UTM.
Baginda turut berkenan bekerjasama erat dengan pihak Johor Corporation dalam usaha badan korporat tersebut menaiktaraf kemudahan di Wad Hematologi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi kegunaan penjaga atau waris pesakit agar kebajikan mereka terpelihara.
Sehubungan itu, Baginda Permaisuri melancarkan kempen ‘TinDak’ di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada bulan Mei 2017.
Kempen ini berfokus ke arah perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.
Komitmen dan usaha Baginda yang berterusan dan pelbagai ke arah menambah baik taraf hidup masyarakat telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Baginda dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada tahun 2017.
Tarikh 31 Januari 2024 (semalam) telah menjadi detik yang cukup besar buat Raja Permaisuri Agong ke-17, Raja Zarith Sofiah apabila berlangsungnya istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu bagi tempoh lima tahun oleh Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Semoga Tuanku Raja Zarith Sofiah dikurniakan kesihatan yang baik dan seterusnya menjadi penasihat penting disamping YDPA Sultan Ibrahim dalam mentadbir negara. – HARAKAHDAILY 1/2/2024




















