
KEDAH bukan sahaja kaya dengan sejarah, keseniaan dan kebudayaan tetapi juga terkenal dengan pelbagai juadah makanan yang mampu menarik hati orang ramai.
Walaupun antaranya mempunyai persamaan dengan negeri lain, tetapi makanan terkenal di negeri Jelapang Padi ini, tetap ada kelainannya.
Ada di antara makanan ini tersohor di daerah tertentu dan menjadi menu wajib pada majlis keraian atau kenduri.
Salah satunya, gulai rias pisang yang lebih terkenal di selatan Kedah seperti daerah Baling, Sik dan sebahagian Kulim Bandar Baru.
Ia bukanlah sajian harian tetapi boleh dikatakan menjadi menu utama apabila terdapat majlis kenduri kahwin atau sebagainya.
Bahan yang digunakan adalah umbut pisang atau lebih dikenali sebagai rias pisang (bahagian tengah batang pisang yang lembut berwarna putih).
Gulai rias pisang biasanya dimasak bersama daging lembu bertulang, daging cincang ataupun kambing.
Sungguhpun menu ini biasanya dijadikan hidangan majlis kenduri namun sejak akhir-akhir ini terdapat kedai-kedai makan yang menyediakannya untuk pelanggan.
Malah turut menjadi menu pilihan ketika berbuka puasa serta disajikan di hotel-hotel tertentu.
Kalau anda pernah hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tentu berpeluang menikmatinya kerana nasi putih, gulai rias pisang antara menu utama pada majlis itu.
Gulai rias pisang selalunya dimasak di dalam kawah atau periuk besar sementara ia lebih sedap sekiranya tidak terlalu pedas dan tidak berkuah pekat.
Kini ia mula digemari penduduk luar Kedah malah ada di antara mereka menganggap ‘tidak sah’ kunjungan ke negeri ini sekiranya tidak menikmati gulai rias pisang utara.
Tidak salah kalau dikatakan ‘hanya yang biasa menikmatinya sahaja yang tahu keenakannya’.
Gulai rias pisang boleh dinikmati bersama nasi putih, nasi minyak atau dicicah bersama roti canai atau peknga. – HARAKAHDAILY 10/1/2024












