
KOTA BHARU: Kerajaan perlu melaksanakan pendidikan gender bagi menyekat penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam masyarakat pada ketika ini.
Ketua Jabatan Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dr Nur Azwani Mansor berkata pendidikan itu diterapkan dalam sosialisasi gender.
Beliau berkata, pihaknya sudah membangunkan satu modul pendidikan gender yang merujuk pelbagai sumber berkaitan pendidikan keluarga dan kanak-kanak dari dalam dan luar negara.
“Penyelesaian kita ini bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat agar tidak meletakkan stigma buruk kepada keluarga terbabit iaitu tidak memandang serong kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang mengalami kecelaruan gender untuk mereka datang ke depan dan mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘fenomena Kecelaruan Gender Di Alam Melayu Cabaran Dan Solusi’ di Dewan Johor Kias di Nilam Puri di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan perasmiannya oleh oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.
Meskipun membentangkan tajuk yang berbeza Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu (Salam), namun beliau mahu mengajak masyarakat sedar situasi yang dihadapi sekarang semakin membarah.
Nur Azwani berkata lagi, masyarakat juga keliru mengenai definisi jantina iaitu makna lelaki dan perempuan dari aspek biologi sementara gender perbezaan jantina dari sudut sosial.
Beliau berkata, apa yang dihadapi masyarakat sekarang ini ialah kecelaruan gender bukan kecelaruan jantina yang tidak boleh diubah dan ia meretasi masa, negara dan budaya.
“Yang kita hadapai sekarang ialah perubahan gender, kecelaruan gender bukan kecelaruan jantina, istilah gender dan jantina ini ramai yang keliru membabitkan dua istilah ini.
“Kalau golongan kecelaruan jantina kalau kata jantina lelaki tetapi gender mereka perempuan, dilahirkan lelaki tetapi merasakan dirinya terperangkap dalam badan wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/1/2024











