Mentadbir kerajaan bukan untuk cari untung

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Mentadbir sebuah kerajaan bukan hanya untuk mencari untung malah mensejahterakan rakyat, kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Menurutnya, pemberian pencen sememangnya  memberi kesan kepada negara namun aspek kesejahteraan rakyat perlu diambil kira oleh kerajaan berbanding soal keuntungan mahu pun kerugian.

“Jangan hanya fikir kerajaan nak cari untung tapi mereka juga mesti cari jalan untuk sejahterakan rakyat,” katanya semasa sidang media selepas sesi ramah mesra bersama pengamal media Perlis di Gunung Medan Glass Cafe, di sini kelmarin.

Beliau juga menegaskan agar pihak kerajaan mengkaji semula langkah memansuhkan skim saraan bagi mengelakkan penjawat awam di negara ini terkesan dengan pelaksanaan tersebut.

Katanya, beliau secara peribadi tidak bersetuju sekiranya pemberian pencen kepada penjawat awam atau ahli politik yang membabitkan wakil rakyat dihapuskan oleh pihak kerajaan.

“Majoriti rakyat di negara ini adalah penjawat awam dan golongan ini akan terkesan sekiranya pemberian pencen itu digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Mohd. Shukri menyatakan kebimbangan mengenai nasib penjawat awam yang telah berkhidmat selama 30 hingga 40 tahun dengan kerajaan apabila pencen mereka dihapuskan.

“Secara peribadi saya memang tak setuju pencen ini dihapuskan dan perkara ini perlu dikaji semula,” tambah beliau.

Kabinet sebelum ini telah bersetuju bahawa perjawatan bagi penjawat awam akan bermula Februari depan tanpa pencen.

Namun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah memberi jaminan bahawa status berpencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli politik yang membabitkan wakil rakyat sekiranya negara berdepan dengan kekangan kewangan.  – HARAKAHDAILY 27/1/2024

- Advertisement -