
ARAU: Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim melahirkan kebimbangan terhadap langkah mendadak kerajaan untuk memansuhkan skim saraan dan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut telah mengejutkan ramai pihak, terutama golongan penjawat awam.
Shahidan menekankan bahawa langkah tersebut bakal memberi kesan besar terutama kepada penjawat awam bumiputera, yang kebanyakannya menduduki jawatan rendah seperti kerani.
“Jika tengok dalam sesebuah jabatan atau agensi kerajaan, kebanyakan jawatan rendah seperti kerani dan sebagainya ini diisi golongan bumiputera dan mereka inilah yang akan terjejas teruk jika pencen dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 177 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, semalam.
Shahidan juga menyuarakan cadangan agar kerajaan memberi peluang kepada penjawat awam untuk lanjutan tempoh selama lima tahun sebelum pelaksanaan langkah tersebut.
“Di negara kita, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mungkin boleh membantu kerajaan bagi membela nasib penjawat awam yang dikhuatiri terjejas jika pencen dimansuhkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2024











