
KUALA TERENGGANU: Lebih 4,000 jemaah hadir menyertai kempen Geng Subuh Macam Jumaat di Dun Bandar, kelmarin.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, seawal jam 3 pagi para jamaah sudah mula membanjiri pekarangan Masjid Abidin.
“Tidak sampai 45 minit, 500 baju percuma kepada yang mendaftar awal telahpun habis,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Menurut beliau, program dimulakan dengan sesi munajat perdana yang diisi dengan solat taubat, solat hajat, solat tasbih serta zikir dan selawat.
“Solat subuh tadi telah dipimpin oleh Syeikh Dr. Mohamed Abdel Hamid Kulaib, Imam Khas Masjid Abidin,” katanya.
Kata beliau, acara diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus yang mengulas mengenai doa qunut.
“Yang menarik ketika sesi tazkirah yang berlangsung lebih 30 minit, diadakan kuiz dan disertakan hadiah. Kreatif sungguh penganjur,” ujarnya.
Para jemaah turut dihidangkan sarapan.
“Allahu akbar! Suasana seperti sedang berbuka puasa di bulan Ramadan. Indah sungguh. Cuaca pula sangat baik, masing-masing menikmati sarapan di sekitar pekarangan masjid. Ada yang di kerusi, ada juga yang bersila di lantai,” katanya.
Manakala, kemuncaknya, kata Ahmad Amzad, semua jamaah secara santai berjalan mengelilingi bandar Kuala Terengganu.
“Peserta telah dilepaskan oleh Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus. Pengacara majlis awal-awal pesan tak perlu balik rumah ganti pakaian, berjalan saja dengan pakaian yang sedia ada.
“Macam-macamlah ragam yang dapat dilihat. Alhamdulillah semua peserta nampak gembira dan ceria kerana dapat berjalan bersama murabbi ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Syed Nor Hisham.
“Program dimeriahkan lagi dengan kehadiran pempengaruh dan ahli sukan seperti Sukri Sulaiman, YB Adam, Ustaz Ahmad Muzaini, Alif Zakaria dan Nik Sharif Hassefy
“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua. Semoga pahlawan subuh terus istiqamah sehingga islam menang di serata buana,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2024












