
MASJID TANAH: Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, penubuhan ‘Pasukan Pegawai Seranta’ bagi kawasan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan komunikasi dua hala jentera parti.
Menurut beliau, mereka akan menjalankan dua fungsi iaitu membantu menyampaikan maklumat parti kepada rakyat dan memaklumkan kepada parti terhadap isu atau masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Kita mahu PAS Kawasan Masjid Tanah ini bekerja dengan profesional dalam menyantuni masyarakat. Kita mahu kita dilihat sebagai bakal parti pemerintah.
“Kerana itu kita wujudkan team ini bagi mereka menjalankan tugas yang khusus dalam tanggungjawab mereka terhadap parti,” ujar Ustaz Imran.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily usai program ‘Taklimat Penubuhan Pegawai Seranta PAS Kawasan Masjid Tanah’ yang berlangsung di markaz Jalan Hujan Panas, di sini, hari ini.
Tambahnya, penubuhan pasukan itu yang diletakkan di bawah Lajnah Penerangan dan Media Baharu telah diputuskan dalam pemukiman PAS kawasan yang berlangsung dalam beberapa siri sebelum ini.
“Kita berharap selepas ini kita dapat membantu rakyat dengan lebih berkesan dengan adanya team ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS kawasan, Syahmi Shaare berkata, ‘Pasukan Pegawai Seranta’ ini adalah lanjutan daripada ‘agen penerangan’ yang pernah diwujudkan dahulu.
“Dulu kita ada ‘agen penerangan’ yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat rasmi yang disampaikan oleh parti kepada orang ramai.
“Tetapi kali ini kita tambah fungsi kedua iaitu menyampaikan kepada parti maklumat tentang rakyat, contohnya kematian, sakit atau apa-apa masalah rakyat yang memerlukan bantuan parti,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa ini setiap cawangan perlu menyediakan calon pegawai seranta yang meliputi semua golongan dalam parti seperti muslimin, muslimat, pemuda dan muslimat muda.
Majlis taklimat tersebut dihadiri oleh lebih 40 orang wakil daripada cawangan-cawangan dalam kawasan ini sebagai langkah awal pembentukan pasukan itu. – HARAKAHDAILY 27/1/2024











