Jangan jadikan penjawat awam sebagai mangsa

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Kerajaan negeri diingatkan agar jangan menjadikan penjawat awam sebagai mangsa untuk menyekat kemaraan PERIKATAN NASIONAL (PN) khususnya di Pulau Pinang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, pihaknya mendapat aduan terdapat penjawat awam yang diganggu dengan pelbagai tekanan termasuk akan ditukarkan ke tempat lain.

“Mereka merasa tidak selesa kerana diugut akan ditukar ke tempat lain atau tidak dinaikkan pangkat.

“Ada juga yang diminta menggunakan harta awam untuk kepentingan parti tertentu dan terdapat juga diberi tekanan agar meletakkan jawatan parti politik khususnya yang berbeza fahaman politik dengan pemerintah,” jelasnya pada kenyataannya, hari ini.

Fawwaz juga berkata, kekalahan terburuk Pakatan Harapan (PH) di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menjadikan pakatan itu tertekan dan menjadikan penjawat awam sebagai mangsa.

Sikap sedemikian ujarnya merupakan tindakan pengecut dan bacul, apatah lagi bertindak seumpama baling batu sembunyi tangan.

“Sikap buruk dan keji seperti ini tidak akan dapat disembunyikan bahkan akan terbongkar. Jika dahulu, kerajaan dikatakan kejam terhadap penjawat awam. Kerajaan sekarang lebih dahsyat lagi,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -