
GURUN: Sokongan anak-anak muda terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) khususnya PAS tetap kekal malah semakin bertambah.
Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Baddrol Bakhtiar ke kampung-kampung membuktikan ‘aura’ pemimpin PAS masih berbisa khususnya di kalangan golongan muda.
“Alhamdulillah, sambutan masyarakat terutama anak-anak muda di kawasan dan kampung yang saya singgah sangat memberangsangkan,” kata beliau.
Baru-baru ini, bekas bintang bola sepak negara itu bersama Dewan Pemuda PAS Jerai menjelajah kampung dan kawasan taman perumahan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
‘Road Tour Gurun’ anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Gurun bersama dewan pemuda terbabit diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.
Selain beramah mesra bersama penduduk, Baddrol turut menyantuni golongan sasar.
“Di Kampung Batu 2, saya menyampaikan sumbangan sebuah mesin rumput dan bola khusus kepada peminat sukan bola sepak di kampung itu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu Baddrol juga mengambil kesempatan bermain bola dan lepak-lepak santai bersama penduduk kampung. – HARAKAHDAILY 15/1/2024











