
KANGAR: Konvensyen Wakil Rakyat PAS 2024 bukan sahaja dapat mengerat ukhuwah persaudaraan sesama ahli malah memberi semangat kebangkitan perjuangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, ia juga langkah yang menggembirakan di samping musyawarah dijadikan pendorong utama dalam mencapai semangat kesepaduan.
“Pertemuan ini adalah usaha untuk menyatukan langkah, dan melalui musyawarah, para peserta berusaha mendapatkan kefahaman yang mendalam untuk memajukan gerakan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Asrul yang juga Ketua Penerangan PAS Perlis juga berkata, peserta program turut didedahkan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu proses agar selari dengan pemahaman melalui keputusan yang dibuat secara bersama.
“Semangat persaudaraan yang terbina dapat memberi kebangkitan kepada gerakan Islamiyah khasnya PAS.
“Ia disusuli dengan harapan nusrah dari Allah agar sentiasa menyertai langkah-langkah dalam melaksanakan tanggungjawab masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.
Seramai 197 wakil rakyat dari seluruh negara berkumpul pada Konvensyen Wakil Rakyat PAS 2024 selama dua hari bermula 11 Januari lalu.
Konvensyen yang diadakan Hotel Tenera, Bangi itu berbertujuan merangka strategi serta memperkasakan gerak kerja bagi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. – HARAKAHDAILY 15/1/2024











