Suntikan jarum halus fahaman liberal filem tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakyah fahaman liberal kini disuntik secara jarum halus dalam bentuk visual pada filem terbitan tempatan berbanding dahulu pemikiran ini banyak dikembangkan dalam buku, novel, majalah, seminar dan forum.

Penulis, Zabidi Mohamad berkata, pihak yang mengangkat fahaman difatwakan sesat itu  tidak mengaku mereka liberal, tapi sering mendabik dada menganggap diri sebagai ‘progresif dan berpemikiran terbuka’. 

- Advertisement -

Beliau yang juga penulis skrip dan penggiat filem pendek patuh syariah berharap rakyat negara ini menjaga keluarga mereka dari pemikiran sesat ini dan mengingatkan filem Melayu supaya bebas dari fahaman liberal.

“Puak-puak Melayu liberal dalam industri kandungan kreatif tanahair sejak 10 tahun kebelakangan ini sedang rancak memasukkan pemikiran liberal dalam filem-filem mereka. 

“Kini jika gagal dapat kelulusan LPF (Lembaga Penapisan Filem) mereka guna platform OTT (perkhidmatan media lepas pelantar) dan YouTube yang bukan dalam bidang kuasa LPF. 

“Juga mereka buat tayangan kepada umum dengan berselindung di sebalik istilah ‘for private screening only’,” ujar beliau yang terkenal dengan buku Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar.

Beliau dikenali aktif membongkar dakyah sedemikian yang diracunkan secara muslihat ke pemikiran ummah selain kritikannya terhadap unsur-unsur seumpama dalam penulisan, drama, filem dan selain itu.

Antara kontroversi sebelum ini adalah filem Mentega Terbang, begitu juga Maryan Pagi Ke Malam yang setelah gagal ditayangkan di Pesta Filem Kota Bharu pada 9 September lalu, Sister in Islam pula mahu tayangkan filem itu di Kuala Lumpur.

Dedah Zabidi, filem tersebut menerima dana kerajaan yang disalurkan melalui MyCreative Ventures iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (DKD) sebelum ini.

“Tapi penerbitnya tidak mahu hantar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tapisan dan kelulusan LPF. Penerbit guna alasan filem tersebut hanya untuk dihantar ke penyertaan festival antarabangsa dan ‘private screening‘ sahaja. 

Pada pendapat saya sebagai orang yang secara langsung terlibat dalam industri kandungan kreatif, filem yang dapat dana kerajaan mesti dibuka untuk ‘public screening’ dan bukan tertutup secara eksklusif dalam ‘private screening’

“Duit kerajaan yang penerbit terima adalah dari duit pembayar cukai rakyat Malaysia. Maka filem itu sepatutnya dibuka kepada ‘public’,” ujarnya turut membidas peranan Sister in Islam, NGO yang diketahui agenda menyimpang itu.

Beliau berharap pihak berkuasa yang mempunyai punca kuasa dapat menghalang mana-mana filem diterbitkan dengan dana kerajaan boleh sesuka hati menayangkan filem mereka tanpa terlebih dahulu mendapatkan tapisan dan kelulusan LPF. 

Zabidi turut mempersoalkan tindakan penerbit-penerbit tertentu yang enggan menghantar filem mereka ke LPF di mana sikap mereka itu tegasnya tidak boleh dinormalisasikan.

“Saya sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam industri kandungan kreatif Malaysia, pembayar cukai berhak dan mempunyai locus standi untuk menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian. 

“Pendirian saya filem yang dapat dana kerajaan mesti melalui proses penapisan dan kelulusan LPF terlebih dahulu. Apa sebenarnya yang cuba di sembunyikan oleh penerbit?” soalnya. 

Katanya, sebagai seorang individu yang secara langsung terlibat dalam industri kandungan kreatif beliau perlu ‘menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian’ untuk sedarkan masyarakat Islam terhadap bahaya pemikiran liberal ini. 

Menurutnya, jika beliau yang direzekikan faham ‘bahasa filem’ tidak menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian, di akhirat nanti Allah akan tanya sejauh mana dia sudah berusaha membela kesucian agama Islam. 

Akuinya, sebagai seorang individu yang tiada pengaruh, tiada pengikut, tiada peminat, bukan pempengaruh, bukan pemimpin persatuan, tidak menjadi ahli kepada mana-mana persatuan dan tidak ada kuasa, Allah tahu suara dan pandangan beliau sangat terhad. 

“Saya hanya perlu menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian sahaja. Tapi cukup dengan hanya ‘sekali’ menunjukkan sikap dan menyatakan pendirian sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggungjawab dalam membela agama. 

“Jauhkan pemikiran ini dari keluarga, anak cucu dan keturunan kita demi akidah dan menjaga kesucian agama Islam. Jika wujud pada masa mendatang kita adukan pada pihak berkuasa yang berkaitan,” serunya. – HARAKAHDAILY 12/1/2024

- Advertisement -