
SEKITAR 2015 penulis ada berkomentari berkenaan seorang tokoh aktivis tempatan yang dikritik ramai atas komen yang dibuat ke atas khutbah Jumaat terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dituduh kononnya menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat. Selain kecaman di media sosial, beberapa laporan polis juga dibuat oleh rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati. Kesudahannya kes menerbitkan penerbitan menghasut beliau ditarik balik pihak pendakwaan pada Ogos 2018. Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 2022 dilaporkan mengkritik kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan telah menggugurkan empat belas kes berprofil tinggi semasa pertama kali berjaya membentuk kerajaan pada tahun 2018.
Esei bertajuk ‘Eric Paulsen dan Keadilan’ boleh dibaca dalam buku ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’. Penulis antara lain berpandangan (esei ditulis sebelum tokoh tersebut diheetvke mahkamah) bahawa jika terbukti kenyataan tersebut menyalahi undang-undang, adalah penting untuk penguasa, yakni Kerajaan Malaysia menjalankan tanggungjawabnya sebagai jaminan bahawa kedaulatan undang-undang masih kemas terpelihara. Juga, supaya undang-undang rimba tidak mengambil tempat.
Kita tentunya tidak mahu menggalakkan sebarang elemen ekstremisme atau keganasan yang timbul daripada ketidak-puasan hati jika ada sesetengah pihak berfikir sebaliknya.
Atas pandangan itu juga penulis berpandangan bahawa pemimpin DAP yang rumahnya diserang dengan bom molotov beberapa hari lepas, disiasat seadilnya dan dihadapkan ke mahkamah segera jika tokoh DAP itu terbukti telah melanggar apa yang dinamakan 3R. Khasnya apabila DYYM Sultan Selangor sendiri bertitah menegur supaya bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal Islam dan kepercayaan Muslim.
Hakikatnya juga ini bukanlah kali pertama pemimpin kanan DAP diserang atau diugut secara keganasan. Pada 2014 pejabat khidmat wakil DAP disimbah cat merah dan dilempar bangkai ayam beserta gambar pemimpin berkenaan, ditinggalkan di kaki tangga pejabat sebagai satu ugutan. Beberapa tahun sebelum itu pada 2009 pula tokoh yang sama telah membuat laporan polis setelah menerima mesej ugutan bunuh dan pada tahun sebelum itu rumah keluarganya dibaling bom petrol.
Seluruh rakyat Malaysia tentunya berkongsi pendirian jemaah Menteri yang mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan molotov cocktail itu. Ketua pembangkang juga menegaskan bahawa perbuatan khianat itu tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.
Kita juga sependapat dengan Menteri Komunikasi supaya semua pihak jangan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat!
Kerana itulah kita sedikit hairan dan sangat tidak senang apabila kelihatan sepertinya pada khalayak umum bahawa pemimpin DAP ‘kebal’ undang-undang. Tentunya pandangan ini tidak berasas namun hakikat itu tidak berjaya mengikis sentimen sedia ada. Khasnya apabila ramai pemimpin DAP kebelakangan ini dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur 3R.
Contohnya pada Disember 2022 seorang tokoh veteran DAP ditegur setelah menyatakan kebimbangan apabila fenomena gelombang hijau ‘dikhuatiri’ bakal menjadikan Malaysia sebuah negara Islam menjelang PRU-17 sebelum 2032. Beliau juga mahu Perdana Menteri melakukan reformasi untuk mengubah apa yang dilihat penganalisa sebagai populariti parti politik Melayu Islam dikalangan pengundi khasnya 1.4 juta pengundi baharu.
Apa yang menarik, tokoh veteran ini juga pada Mei tahun yang sama dikritik Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa supaya memadam hantaran media sosial beliau yang dilaporkan bertanya “Apakah rumah Perdana Menteri dan Menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka?”. Hantaran itu dilabel biadab, tidak bertanggungjawab, bersifat anarkis dan sabotaj kepada ekonomi negara.
Tentu juga kita semua masih ingat dengan hantaran media sosial beliau pada Disember tahun ini yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dibimbangi bakal menggugat keharmonian negara sehingga kertas siasatan dibuka pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Julai lalu pula anak tokoh veteran DAP itu yang juga mantan Menteri Kewangan dilaporkan mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sekiranya pihak lawan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN). Beliau kemudian menafikan dakwaan yang dibuat cuma mengaku ada menyentuh isu kuil Hindu. Datuk Seri Ti Lian Ker mengkritik sentimen yang cuba dimainkan itu sebagai usaha ‘memaksa’ pengundi Cina untuk mengundi DAP atau dilihat sebagai pengkhianat bangsa dan akan dilaknat. Beliau juga mahu parti DAP untuk hentikan mainan politik perkauman dan agama.
Sebelum ini tokoh DAP sama pernah diingatkan Datuk Seri Mahadzir Khalid supaya bertanggungjawab apabila menyamakan kerjasama politik parti Umno dan PAS (2019) sebagai ‘deklarasi perang’ kepada kaum lain. Kenyataan itu dilihat beliau mampu menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Tokoh Umno itu juga membuat teguran kepada seorang pemimpin kanan DAP lain, yang kini dilantik Menteri, kerana cuba menyamakan kerjasama Umno-PAS bakal menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban jika berjaya membentuk kerajaan.
Tentu juga ramai rakyat Malaysia masih ingat akan insiden seorang pemimpin muda DAP yang membuat tafsiran ayat suci al-Quran sehingga ditegur kawan dan lawan. Ketua Pemuda BERJASA, contohnya berpandangan amat malang apabila Ahli Parlimen DAP itu berbuat demikian tanpa memahami dengan lebih jelas tafsiran daripada Surah An-Nisa tersebut dan dikatakan telah memanipulasi ayat al-Quran. Tokoh Umno dan PKR juga menasihatkan beliau agar tidak sewenang-wenangnya berbuat sedemikian dan beliau akhirnya akur dan memohon maaf.
Tokoh DAP yang dikatakan mangsa oleh Menteri Dalam Negeri juga telah memohon maaf atas keterlanjuran yang dibuat beliau sebelum itu walaupun beberapa hari sebelum serangan molotov cocktail berlaku masih terdapat pihak yang mahu beliau disiasat.
Pendirian ini sebenarnya selari dengan pendirian kerajaan seperti yang ditegaskan oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi sendiri pada Julai 2023, bahawa permohonan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah. Beliau juga menambah dalam hantaran di X, mahu pihak PDRM diberi kebebasan untuk siasat siapa saja yang membangkitkan isu 3R yang melanggar mana-mana undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Ya kita bersetuju dengan seruan DAP supaya Kementerian Dalam Negeri dan PDRM mengambil perhatian serius dalam kejadian keganasan yang terbaru namun kita juga mahu supaya DAP dan lain-lain pihak lain supaya jangan lagi berbuat kenyataan yang menghina Islam atau amalan Muslim. Ini adalah untuk, seperti yang ditegaskan Menteri Pengangkutan yang juga merangkap Setiausaha Agung DAP, memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga. Ia juga selari dengan gesaan Menteri Dalam Negeri yang menggesa semua rakyat supaya bertenang.
Dalam keadaan apa sekalipun pertimbangan ini harus diberi keutamaan. Kita percaya pihak pembangkang yang pantas mengutuk keganasan yang menimpa itu juga sebagai mempertahankan status quo mahu Malaysia kekal aman sejahtera dan keharmonian sentiasa terpelihara.
Ketenteraman awam juga rupanya adalah asbab kepada Mahkamah Rayuan pada September baru-baru ini memutuskan untuk membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk mengembalikan perintah mengharamkan buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective‘. Keputusan majoriti berpuas hati bahawa menteri yang munasabah akan mencapai kemungkinan buku itu menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam. Mahkamah Rayuan juga berpandangan walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku, namun ianya tidak menafikan wujudnya kemungkinan ianya mengambil tempat.
Kalah jadi abu, menang jadi arang. Tentunya tiada guna jika negara hancur dek porak-peranda segelintir pihak tidak bertanggungjawab. Kita semua ada peranan dalam memastikan hal itu tidak tercetus. Tentunya DAP yang kini mendepani kerajaan Perpaduan Madani sangat faham akan hal itu.
Tentunya juga DAP dan pimpinan kerajaan faham untuk tidak berbuat kenyataan tidak bertanggungjawab atau hasutan yang boleh membawa kepada pecah-belah seperti tuduhan liar yang dilemparkan pemimpin DAP yang ‘dimangsakan’ itu terhadap pihak lawan, apatah lagi semasa artikel ini ditulis, PDRM dilaporkan masih melakukan siasatan terperinci kes tersebut.
Pepatah Melayu “Kerana pulut santan binasa…” boleh dijadikan DAP sebagai pemula!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 12/1/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











