
KOTA BHARU: Reka bentuk jambatan kekal baru laluan FT066 yang menghubungkan Jeli ke Kuala Balah di Kampung Kubu Datu, Jeli sedang dijalankan walaupun jambatan bailey atau jambatan mudah alih dapat digunakan pada 9 Januari lepas.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail ketika dihubungi hari ini berkata, usaha berkenaan mengambil masa dua minggu, termasuk mengambil ujian kestabilan tanah.
“Walaupun jambatan ini sudah boleh dilalui, namun kerja-kerja untuk membina jambatan kekal baru akan dilakukan segera agar ianya dapat digunakan sebelum Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Menyentuh jambatan bailey Suhaili berkata lagi, kerja pemasangan jambatan berukuran 30 meter panjang dan 4.2 meter lebar itu dimulakan Jumaat lepas dan siap sehari lebih awal berbanding perancangan asal iaitu 10 Januari.
Bagaimanapun katanya, jambatan ini hanya dibuka kepada kenderaan ringat satu lorong sahaja dengan muatan 20 tan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin melahirkan rasa syukur apabila jambatan berkenaan dapat digunakan semula.
Katanya, laluan itu dapat dibuka sehari lebih awal dari perancangan dan ianya memudahkan urusan orang ramai yang terlibat dengan laluan tersebut.
“Alhamdulillah, semoga berita gembira ini dapat dimanfaatkan dengan baik,” katanya.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassruddin Daud, ketika kejadian turun sendiri untuk melihat situasi kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit.
Beliau hadir untuk menyelami kerumitan yang dialami setelah laluan perhubungan terputus pada kejadian itu. – HARAKAHDAILY 12/1/2024











