
KOTA BHARU: Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama, Datuk Zamri Ismail, antara pemimpin awal yang datang menziarahi mangsa kebakaran yang berlaku di Jalan Sultanah Zainab yang berlaku pagi ini.
Ketika ditemui Zamri berkata, beliau telah meminta senarai nama keluarga diambil oleh petugas serta jumlah mangsa yang terlibat dalam kebakaran berkenaan yang berlaku kira-kira pukul 8.00 pagi tadi.
Menurutnya, antara bantuan awal yang disegerakan mencari rumah sewa kepada mangsa yang tidak mempunyai saudara terdekat di sekitar Bandar Kota Bharu.
“Bagi yang mempunyai saudara mara terdekat, mungkin mereka boleh menumpang buat sementara waktu sebelum keadaan kembali pulih atau mencari rumah sewa yang lain,” ujarnya.
Katanya, bantuan lain dari pihak kerajaan akan diurus melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu bagi meringankan bebanan mangsa kebakaran.
Zamri bagaimanapun melahirkan rasa syukur memandangkan semua mangsa kebakaran selamat.
Beliau juga turut berharap pihak hospital atau yang berkaitan turut dijemput untuk menangani mangsa kebakaran yang kini dalam trauma.
“Saya berharap semua mangsa bersabar menghadapi ujian ini, insya-Allah kita tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” ujarnya ketika ditemui.

Pada kejadian itu seramai 36 orang dari lima buah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut.
Kepantasan pihak bomba yang dianggarkan sebanyak enam buah kenderaan telah berjaya memadamkan api dari terus merebak ke rumah-rumah lain berhampiran.
Seorang mangsa, Wan Noraisyah Wan Mohd Ghazali, 37, berkata beliau bersama suami hanya berjaya menyelamatkan sebuah kereta sebelum api semakin marak.
Beliau yang juga merupakan petugas DUN Kota Lama melahirkan rasa syukur memandangkan hajatnya untuk keluar rumah lebih awal bagi membeli barang dapur terbantut apabila melihat rumah di bahagian hadapan rumahnya telah terbakar.
“Rumah saya ni yang ketiga, bila saya nampak api semakin marak dan bakal merebak ke rumah kedua saya terus memanggil suami dan mengejutkan anak dari tidur dengan segera,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun bersyukur memandangkan kesemua anggota keluarganya dan mangsa kebakaran selamat.
Sementara itu Saerah Daud, 67, antara orang awal yang menyedari berlaku kebakaran itu berkata, beliau melihat api mula menyala dari sebuah rumah di belakang rumahnya.
Beliau terus melaung memanggil anak-anak dan jiran berdekatan sambil menjerit ada rumah terbakar.
“Rumah mek alhamdulillah sikit sahaja terkena api di bahagian belakang (dapur) sahaja terbakar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/1/2024












