Pelancongan Perlis: RM500 berbaloi, RM1,000 mewah

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad menyifatkan percutian bermodalkan RM1,000 di Perlis sebagai ‘pelancongan mewah’.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang isu sebahagian masyarakat yang berasa cukup bermodalkan nilai yang sama untuk bercuti di Hatyai baru-baru ini.

“Jika di Hatyai, bajet RM1,000 itu sudah dikatakan cukup tetapi di Perlis bajet RM1,000 itu sudah cukup mewah, malah dengan hanya RM500 ke bawah pun, pelancong Perlis mampu mendapatkan suatu percutian yang sangat berbaloi serta menarik.

“Penginapan di Perlis ada di bawah RM200 ditambah pula pelbagai sajian makanannya yang murah serta tempat menarik di negeri ini hanya mengenakan caj yang cukup minimum.

“Pendek kata sambil bercuti, boleh juga berjimat,” ujar beliau selepas Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh, Beseri, semalam.

Menurut beliau lagi, berdasarkan prestasi kemasukan pelancong seramai 100,000 dalam tempoh dua minggu cuti pada Disember, kerajaan negeri optimis dengan sasaran menerima 3.5 juta pelancong pada tahun 2024.

“Dalam tempoh dua minggu cuti persekolahan lepas, kita menganggarkan lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar Perlis datang ke negeri ini untuk melancong.

“Dengan perkembangan ini juga tidak mustahil sasaran 3.5 juta yang mahu dicapai kita (kerajaan negeri) bagi tahun ini dan tahun hadapan sempena TMPs mampu dicapai dengan lebih cepat dalam tahun ini sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/1/2024

- Advertisement -