Pilihan raya PBT boleh cetus ketegangan kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan DAP mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dianggap boleh mencetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, perkara itu turut diakui Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyatakan cadangan melaksanakan pilihan raya PBT boleh menjejaskan hubungan antara etnik.

- Advertisement -

“Ia juga sangat bertepatan dengan pandangan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pelaksanaan pilihan raya PBT boleh menyebabkan pergeseran antara kaum semakin melebar,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dilapor mencadangkan supaya diadakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Mohd Zamri yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, berkata DAP konsisten mendukung kuat pilihan raya PBT untuk dilaksanakan.

“Ini mungkin kerana ianya hanya menguntungkan sesetengah kaum yang menjadi pengundi teras mereka tanpa mengambil kira kaum lain yang menjadi nadi kehidupan di bandar besar.

“Sepatutnya isu-isu yang sensitif seperti itu tidak dibangkitkan. Kita akan lihat bagaimana terdapat penguasaan kaum tertentu di bandar dan kaum lain akan tersisih kelak seperti zaman penjajahan dahulu,” katanya.

Katanya juga, isu itu akan memberi satu kesan sangat buruk pada masa akan datang.

“Kita mesti sekat kemaraan DAP yang ingin melebarkan kuasa hanya demi kepentingan kelompok tertentu sahaja,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 30/12/2023

- Advertisement -