
RANTAU PANJANG: Sebanyak 15 kes Covid-19 dikesan di Kelantan dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun jumlah kes berkenaan menunjukan masih dalam keadaan terkawal.
“Antara PPS yang terlibat iaitu sebanyak enam kes di Pasir Mas manakala selebihnya melibatkan jajahan Tanah Merah.
“Semua kes berada pada tahap ketegori pertama dan kedua yang tidak berat, namun mereka diberi rawatan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan ke fasiliti kesihatan terjejas banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial di sini, hari ini.
Sementara itu mengenai penjagaan kesihatan mental kata beliau, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk mencegah dan mengurangkan tahap tekanan termasuk melibatkan kakitangan kesihatan.
“Fasiliti kesihatan perlu dijaga kerana ada juga dalam kalangan mereka turut terjejas ekoran banjir yang berlaku.
“Ia juga sebagai langkah berjaga-jaga bukan sahaja melibatkan mangsa banjir sebaliknya petugas kesihatan dengan membuat pengiliran tugasan untuk menghilangkan ‘stress’,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023











