Penduduk mulai pulang bersih kesan banjir

- Advertisement -

PASIR MAS: Penduduk di beberapa kampung di daerah ini yang terjejas banjir mulai pulang membersihkan rumah masing-masing selepas air surut.

Tinjauan Harakahdaily ke Kampung Seberang Merbau, di sini mendapati penduduk mula mengemas rumah mereka termasuk membuang peralatan yang rosak akibat ditenggelami banjir.

- Advertisement -

Seorang penduduk, Mohd Khairul Azan Asli, 35, berkata, banjir yang berlaku pada gelombang kali ini paling tinggi dinaiki air berbanding kali pertama dan kedua baru-baru ini.

Katanya pada gelombang ketiga kediamannya dinaiki air pada paras hampir dua meter.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat pulang ke rumah untuk membersihkan segala peralatan yang ditenggelami banjir sejak Isnin lalu.

“Habis kesemua barangan serta peralatan dan kelengkapan kediaman musnah dan ada yang tidak boleh lagi digunakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Khairul juga berkata ketika kediamannya dinaiki air beliau tinggal sementara di rumah ayahnya di kampung yang sama.

“Saya tidak berpindah ke PPS tetapi bersama isteri dan anak-anak tumpang berlindung di rumah ayah memandangkan saya tidak sampai hati untuk tinggalkan ayah seorang diri di rumahnya.

“Rumah ayah saya tidak dinaiki air kerana terletak di kawasan lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu terdapat beberapa penduduk sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan surau di kampung itu yang juga ditenggelami banjir.

Abdul Fattah, 55, bersama saudaranya dan Mohd Asri Yusof, 56, yang merupakan Orang Kuraya Upaya (OKU) turut tidak melepaskan peluang membantu membersihkan surau di kampung berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini saya serta beberapa yang lain lagi turut membersihkan surau yang dinaiki banjir.

“Hampir kesemua karpet basah kerana ditenggelami air dan tidak boleh untuk digunakan lagi. Namun ada beberapa barangan termasuk sejadah yang boleh digunakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/12/2023

- Advertisement -