
PENGUMUMAN yang dibuat PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) beberapa hari lalu mengenai situasi ketiadaan stok bekalan diesel di stesen minyak PETRONAS mengejutkan semua pihak. PDB menerusi kenyataan, memaklumkan perkara itu dijangka berterusan sehingga 31 Disember ini.
Ia berlaku tatkala Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa ‘mendabik dada’ yang kononnya mereka terpaling hebat mengurus tadbir ekonomi dan pengurusan negara. Apatah lagi kononnya sebelum ini dijaja doktrin Perdana Menteri ke-10 (PMX) seorang yang hebat dalam ekonomi.
Ditambah dengan sikap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli raja formula yang mendakwa hebat dalam menyelesaikan semua masalah ekonomi dan pengurusan negara, hal sekecil bekalan diesel pun dilihat gagal dalam pentadbiran negara. Bagaimana dalam keadaan ini mereka tidak dapat memantau perjalanan PETRONAS sebagai sebuah syarikat berkepentingan kerajaan dan yang banyak menyumbang kepada pendapatan negara akhirnya berlaku ketidakcukupan bekalan diesel.
Lebih dari itu apakah mungkin ketidakcukupan bekalan ini memberi ‘signal’ awal kepada kenaikan harga diesel? Kami menuntut penjelasan kerajaan dalam hal ini agar rakyat tidak terus menjadi mangsa dalam apa sahaja percaturan.
Kegagalan ini memberi imej buruk kepada PETRONAS sebagai sebuah syarikat pengeluar minyak dan Malaysia khasnya sebagai salah sebuah negara pengeluar minyak.
Terlalu banyak kegagalan mengenai bekalan barangan termasuk tepung, gula, minyak masak, beras dan sebagainya gagal diselesaikan di bawah Kerajaan PMX yang menyebabkan rakyat semakin meluat dengan retorik kosong Kerajaan Madani.
YB DATUK AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
29 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 29/12/2023











