
KANGAR: Jelajah hutan di waktu malam banyak memberi pengalaman baharu malah dapat mengenal kehidupan flora dan fauna.
Pengerusi Perlis Nature Xplore (PNX), Syamil Abd Rahman berkata, kesempatannya selama tiga hari (25 hingga 27 Disember) bersama David Atthowe dari RevealNature, United Kingdom (UK), merentas alam hutan di waktu sangat menakjubkan.
Menurutnya selama tiga malam berkampung di Wang Kelian, beliau berkongsi pelbagai pengetahuan berkaitan keunikan spesis flora dan fauna yang menghasilkan cahaya bioluminescense di bawah pancaran sinar Ultra Violet (UV).
“Pelbagai teori dan penemuan diperolehi dari aktiviti ini terutamanya dari sudut kepelbagaian spesis-spesis tumbuhan dan serangga yang bergantung kepada reaksi kimia untuk membantu mencari pasangan, mencari makanan serta sebagai mekanisme pertahanan.
“Pancaran sinar UV mengubah pemandangan hutan seolah-olah berada di dunia ‘avatar’ dengan hampir keseluruhan spesis tumbuhan bertukar menjadi warna biru, kuning dan merah sebagai petunjuk kepada kepekatan klorofil.
“Ia bertindak menukar cahaya matahari kepada makanan, selain dapat mengetahui tahap kesihatan tumbuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar,” jelas beliau.
Ujarnya lagi, tahap kesihatan tumbuhan tersebut dapat ditentukan menerusi tanda-tanda yang disaluti bakteria atau kulat melalui pancaran cahaya UV.
Jelas Syamil lagi, David Atthowe merupakan seorang penjelajah dari Boxford, UK, pernah mengembara ke Wang Kelian melalui ekspedisi berjalan kaki dari Johor ke Perlis belasan tahun lalu.
Penjelajah itu juga katanya menjadikan Wang Kelian sebagai destinasi hentian kembaranya pada kali ini untuk memindahkan pengetahuan kepada komuniti tempatan.
“PNX diperkenalkan kepada David melalui The Habitat Penang Hill sebagai jaringan setempat dalam memperkasakan pengetahuan berkaitan flora dan fauna terutamanya bagi komuniti pelaksana aktiviti konservasi alam,” tambah beliau.
Dalam pada itu aktiviti malam tadi turut disertai oleh Ryan (jurugambar serangga dan unggas) dan Faris (penyelidik tikus dari Universiti Malaya). – HARAKAHDAILY 28/12/2023











