
KUALA TERENGGANU: Pembangkang di Terengganu ketiadaan isu untuk diketengahkan kepada rakyat sehingga mengungkit pembelian 10 kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi menggantikan kenderaan rasmi kerajaan negeri.
Sedangkan pembelian itu diluluskan pada belanjawan negeri tahun lalu.
Pembelian terbabit tidak menyalahi mana-mana peraturan dan turut diluluskan kenderaan pacuan empat roda kegunaan Jabatan Perhutanan negeri.
Lagi pun penggunaan kereta baharu mampu menjimatkan kos penyelenggaraan bagi menggantikan kenderaan lama.
Menjelaskan perkara tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal dilapor berkata, SUV yang dibeli pada Mei lalu belum lagi diagihkan.
Menurutnya pembelian kenderaan terbabit tidak perlu dipolitikkan kerana ia diluluskan pada bajet tahun lalu.
“Tetapi pembelian kenderaan Jabatan Perhutanan tidak pula dipertikaikan termasuk oleh pemimpin politik.
“Sudah menjadi kebiasaan kerajaan negeri untuk menyediakan kenderaan baharu kepada ketua jabatan termasuk Exco kerajaan negeri,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan Bencana negeri semalam.
Malah kata beliau ketika kerajaan negeri terdahulu juga berlaku pembelian kenderaan rasmi baharu bagi menggantikan kenderaan lama untuk menjimatkan kos penyelenggaraan.
Baru-baru ini bekas Ketua Penerangan Umno Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dilapor meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung isu pembelian kenderaan baharu di negeri itu. – HARAKAHDAILY 28/12/2023











