Motosikal guru tercabut tayar ketika redah selut tebal

- Advertisement -

GUA MUSANG: Bagi anggota tentera yang bertugas di perbatasan, meredah hutan yang tebal tanpa kelibatan manusia sudah menjadi perkara rutin.

- Advertisement -

Mereka bergerak secara berpasukan menjaga sempadan negara tanpa mengira siang atau malam. Senjata sentiasa berpaut di tangan.

Itulah cerita bekas anggota tentera yang bertugas menjaga sempadan negara antara Malaysia dan Thailand.

Lain pula kisah bagi guru yang bertugas jauh di pedalaman. Sekolah di penempatan Orang Asli terpaksa mereka jejaki biar pun bergadai nyawa dan membanting kudrat demi masa hadapan anak pertiwi.

Berjalan kaki turun naik bukit, menaiki motosikal melewati jalan balak dan menumpang kenderaan pacuan empat roda merupakan asam garam bagi warga pendidik.

Kisah mencabar itu turut dikongsi seorang guru yang mengajar di Pos Balar, Gua Musang.

“Minggu terakhir sebagai penutup sesi persekolahan 2023 merupakan tahun ketiga aku berada di sini. Banyak kenangan dan pengalaman yang aku kutip sepanjang menjadi pemastautin di sini.

“Pos Balar wilayah terdampar jauh di hutan belantara tetapi penuh dengan cerita yang indah untuk dikongsi.

“Saat ketika terjatuh dan tergolek, namun begitulah kami sentiasa tersenyum dan terus tersenyum,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya.

Guru terbabit menghidangkan kisah mencabar yang penuh dengan kudrat anak jantan ketika berulang alik ke sekolah, terletak di penempatan Orang Asli.

“Melintasi mereka, ada riuh seaneka suara memandang kami. Mereka angguk kami pun aggguk. Itu tanda hormat menghormati kerana kami hadir menjadi satu masyarakat.

“Biar pun terukir indah di hujung cerita anak-anak polos ke mercu kejayaan. Seperti mana pohon tinggi tumbuh melata seperti itu juga hasrat impian kami untuk mereka,” ujarnya.

Menurutnya perjalanan berulang alik ke sekolah sungguh mencabar. Mereka terpaksa meredah selut tebal di musim hujah. Ketika kemarau diselimuti debu.

Begitu juga terpaksa mengharung anak sungai yang melimpah ketika hujan, nyawa menjadi taruhan.

Ketika kelibat pak belakang menjadi bualan ramai di Gua Musang, namun mereka tetap bersemangat merempuh perjalanan di kelilingi belantara dengan semangat waja. Hanya doa menjadi penyelamat.

Kata beliau juga ada motosikal guru yang tercabut tayar ketika meredah selut dan mengharungi sungai di sepanjang laluan balak.

“Aku dan rakan baru menuju pulang ke Kota Bharu, hujan masih merintik membasah bumi. Tetapi kami tetap bersemangat demi keluarga tercinta,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -