
RANTAU PANJANG: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) membantu mangsa banjir yang terjejas di Kelantan.
Seramai 200 mangsa banjir dan sembilan pusat pengajian pondok yang terlibat dengan banjir menerima bantuan berjumlah RM146,000.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Ruslan Said berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat dengan banjir.
Katanya, sumbangan diberi berupa wang tunai, kit kelengkapan solat, beg sekolah serta peralatan keperluan mangsa banjir.
“Sumbangan yang disampaikan ini merupakan tanggungjawab bersama agensi di bawah kementerian yang diselaraskan JAKIM. Agensi terlibat iaitu Yayasan Taqwa, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tabung Haji.
“Ini merupakan tanggugjawab kita untuk disampaikan kepada mangsa setiap kali berlakunya musibah,” katanya kepada pemberita pada Program Misi Bantuan Banjir Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.
Oleh itu beliau berharap sumbangan yang disampaikan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
Beliau turut berharap penduduk supaya sentiasa berwaspada kemungkinan berlaku banjir gelombang ketiga. – HARAKAHDAILY 20/12/2023











