MAIK galak jemaah hadir ke masjid pakai pelitup muka

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menggalakkan ahli-ahli jemaah yang hadir ke masjid memakai pelitup muka.

- Advertisement -

Setiausahanya Muhamad Rasani Ramli berkata, usaha itu sebagai langkah bagi mengekang penularan kes positif Covid-19.

“MAIK mengambil berat dan memandang serius berkaitan peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara sekarang,” katanya pada surat hebahan kepada imam masjid semalam.

Oleh itu kata beliau imam masjid negeri, masjid bandar dan mukim hendaklah membuat hebahan tersebut terhadap galakan memain pelitup muka.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada kenyataan kelmarin menyatakan bersedia menghadapi ledakan jumlah kemasukan pesakit Covid-19.

Angka baharu jangkitan Covid-19 sebanyak 20,696 kes bagi tempoh minggu epidemiologi (ME50) dari 10 hingga 16 Disember lepas.

KKM juga memaklumkan sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 96 kes perlu alat bantuan pernafasan, 28 kes kematian dan 18 kluster wabak tersebut.

Sementara itu Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, kerajaan Kelantan berharap orang ramai mematuhi semula prosedur amalan standard (SOP) Covid-19 yang diperkenalkan KKM.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengeluarkan apa-apa arahan lagi sebaliknya orang ramai perlu akur terhadap sebarang pengumuman KKM bagi menyekat penularan wabak tersebut.

“Kita masih mengikut arahan KKM, bagaimanapun orang ramai dinasihat memakai semula pelitup muka memandangkan kes di Kelantan agak tinggi iaitu 300 kes Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -