
PERMATANG PAUH: Penduduk di sekitar kawasan Bukit Indera Muda menegaskan pendirian mereka membantah perancangan projek pembangunan perkuburan Cina yang dimohon Persatuan Cina Keturunan Guang Dong Seberang Perai.
Pendirian itu dikemukakan dalam perhimpunan aman untuk kali kedua yang diadakan semalam selepas perhimpunan sama dibuat pada 24 November.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, ada tekanan daripada pihak tertentu supaya projek terbabit diluluskan untuk dilaksanakan segera.
“Dalam masa terdekat ini Ketua Menteri akan membuat keputusan sama ada projek ini perlu dibatalkan atau tidak, kita tunggu dan lihat keputusannya,” ujarnya.
Menurutnya pelan pembangunan dan permohonan sebelum ini dihantar kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai tetapi permohonan tersebut ditangguhkan.
“(Cadangan projek) Ditangguh. Jadi pemaju ubah daripada tempat bakar mayat kepada tempat penyimpanan abu mayat. Sekarang ini kita sedang menunggu keputusan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Projek ini besar juga kerana kesannya nanti akan mengakibatkan banjir, hakisan tanah dan kawasan ini 100 peratus orang Melayu.
“Jadi apa keperluannya membina tempat penyimpanan abu mayat masyarakat Cina di sini dalam keadaan 100 peratus orang Melayu di sini,” katanya.
Sebahagian Bukit Indera Muda yang terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan majoriti Melayu merupakan kawasan perkuburan Cina malah persatuan Guang Dong memohon untuk dibangunkan pusat penyimpanan abu mayat.
“Kita tidak mahu hari ini kita bantah, projek ini ditangguh. Nanti selepas setahun dua, akan dibuat pula kemudian dimohon semula dilulus semula, kita tak nak projek seumpama ini ada di kawasan Bukit Indera Muda ini.
“Insya-Allah kalau sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian, kita akan berhimpun dalam jumlah yang jauh lebih besar daripada ini menunjukkan inilah suara rakyat Permatang Pauh terhadap projek yang akan dibina di sini,” katanya.
Kira-kira 300 penduduk di sekitar Bukit Indera Muda mengadakan bantahan terhadap perancangan projek pembangunan tanah perkuburan Cina pada Ahad yang turut dihadiri Adun Permatang Pasir, Amir Hamzah, Senator Amir Md Ghazali, Tuan Guru Ustaz Abdul Mutalib Maarof, dan pemimpin Umno, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said. – HARAKAHDAILY 18/12/2023











