
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertindak segera menghantar bekalan air ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau 2, Rantau Panjang.
Bagaimanapun langkah AKSB tersebut berdepan kesukaran memandangkan laluan masuk ke tangki sedutan di sekolah terbabit dihalang deretan kenderaan penduduk bagi mengelakkan banjir.
AKSB berkata, laluan yang terhalang tersebut menyukarkan bantuan lori tangki AKSB bagi kerja-kerja penghantaran air ke tangki sedutan sekolah.
“Perbincangan dibuat antara AKSB dan wakil Jabatan Kebajikan Mesyarakat serta wakil SK Sri Rantau 2 petang semalam.
“AKSB bersetuju untuk menempatkan dua unit tangki statik berkapasiti 500 gelen setiap satu bagi membantu membantu penghuni PPS SK Sri Rantau 2 mendapat kemudahan bekalan air bersih di PPS terbabit,” katanya pada kenyataan di sini.
Menurutnya juga lokasi tangki statik akan diletakkan di kawasan SK Sri Rantau 2 dan penghantaran hanya boleh dilakukan lori tangki AKSB sahaja memandangkan laluan ke sekolah tersebut ditenggelami air.
Katanya juga sekolah terbabit terletak di penghujung Tangki Gual Tok Deh, dan menggunakan air boring sebagai sumber utama bekalan air di sekolah tersebut. – HARAKAHDAILY 18/12/2023











