
KANGAR: Dua solusi utama dirangka Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) bagi menghadapi masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri, Izizam Ibrahim, kawasan kritikal juga telah dikenal pasti bagi menghadapi masalah berkenaan.
“Kawasan-kawasan kritikal yang dikenalpasti menghadapi masalah berkenaan adalah Kubang Tiga, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kuala Perlis, Beseri, Pauh, Kubang Siput, Bukit Keteri dan Kampung Belukar.
“Dua solusi ini merangkumi jangka masa pendek iaitu dengan melaksanakan perkhidmatan penghantaran air bagi membekalkan air kepada pengguna yang terjejas.
“Manakala bagi jangka masa panjang pula pembinaan tangki di Batu Bertangkup sedang giat dilaksanakan oleh Pihak Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) dan dijangka siap pada awal tahun 2024,” katanya menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Katanya lagi, pembinaan tangki tersebut berupaya menyelesaikan masalah tekanan air di sebahagian kampung yang menghadapi masalah tersebut seperti Kubang Tiga, Batu Bertangkup, Belukar Lenga dan kawasan sekitar dengannya.
“Selain itu, pihak SAP juga sedang melaksanakan projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) menerusi projek pinjaman persekutuan di bawah kerajaan negeri.
“Ia melibatkan projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Arau Fasa IV dan Menaik Taraf Pam Air Mentah dan Pam Air Bersih bertekanan tinggi di Loji Air Arau Fasa I, II & III serta ambilan di Guar Sanji yang dijangka siap pada tahun 2024,” ujarnya.
Mengulas lanjut, projek demikian secara tidak langsung dapat meningkatkan tekanan air di kawasan-kawasan yang bertekanan rendah apabila siap kelak.
“Dalam perkara berkaitan, kerajaan negeri juga dalam proses penilaian pelaburan-pelaburan swasta yang berpotensi untuk menjayakan program non revenue water (NRW) secara holistik,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2023











