Hipokrit Amerika Syarikat terhadap rakyat Palestin

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang menggunakan ‘undi veto’ ketika pengundian di mesyuarat Masjis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada Jumaat minggu lalu bagi meluluskan draf resolusi gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

Ia adalah satu tindakan yang amat zalim, keji dan memalukan bagi sebuah negara yang selama ini begitu gah diangkat sebagai ‘jaguh’ dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Ternyata Amerika Syarikat sebenarnya tidak memperdulikan rakyat Palestin bahkan terus membela ‘penjajah’ dan mempertahankan kepentingan geopolitiknya di Asia Barat.

Ia juga sebenarnya memperlihatkan wajah sebenar Amerika Syarikat dalam isu Palestin yang selama ini berpura-pura memperjuangkan solusi mahupun penyelesaian dua negara yang diusahakan secara serius sejak Persidangan Madrid yang diadakan pada 30 Oktober hingga 1 November 1991.

Solusi dua negara hanyalah ‘kosmetik’ kepada sikap sebenar Amerika Syarikat dan Barat untuk ‘mencuri masa’ bagi memperluas serta menjajah secara total keseluruhan bumi Palestin oleh rejim pengganas zionis Israel.

Solusi dua negara yang selama ini sudah beku kini tiba-tiba diangkat kembali bagi mereda dan menangkis kemarahan umat Islam di seluruh dunia berikutan kekejaman yang dilakukan rejim pengganas zionis Israel di Semenanjung Gaza.

Lihat sahaja apa yang berlaku hari ini, di sebalik kepura-puraan Amerika Syarikat yang bersikap sedih terhadap jumlah korban yang besar warga Semenanjung Gaza, mereka tanpa rasa bersalah membekalkan peralatan ketenteraan dan puluhan ribu bom kepada tentera pengganas rejim zionis Israel untuk membunuh ribuan warga Palestin khususnya kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Sudah sampai masanya negara-negara Dunia Islam khususnya OIC dan Liga Arab mengambil insiatif dan keputusan yang betul untuk membela rakyat Palestin seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Sampai masanya juga Amerika Syarikat mahupun Barat diketepikan terus mencampuri isu Palestin.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
28 Jamadil Awal 1445 / 12 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -