
KUANTAN: Masa untuk persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tidak mencukupi bagi membahaskan perkara yang berbangkit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan tidak dijawab oleh Menteri Besar.
“Hari ini persidangan terakhir, Jumaat, 8 Disember 2023 di mana Menteri Besar telah pun menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan, walaupun tidak semua perkara yang dibincangkan dalam perbahasan diulas olehnya.
“Antara yang saya pertikaikan ialah cukai hasil negeri, cukai ruang udara yang tahun lepas kita dapat RM3 juta, tahun depan kita dapat RM200 sahaja tidak dijawab oleh beliau.
“Saya tengok analisa tentang hasil, banyak hasil ini angka agak luar biasa, tapi kita tidak punya masa untuk membahas sebab dibahasnya hanya tentang belanjawan peruntukan kepada agensi kerajaan, pejabat daerah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sidang DUN, di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS turut melahirkan rasa dukacita di atas peruntukan yang masih belum diberikan kepada Adun yang mendapat mandat rakyat.
“Peruntukan masih lagi tidak di beri kepada semua ahli-ahli dewan negeri walaupun masing-masing dengan peruntukan RM12 juta lebihan sepatutnya kerajaan memberi peruntukan kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih.
“Nampaknya kita hanya ada dua pilihan, kalau dia (kerajaan) tidak bagi peruntukan kita kena ambil alih,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2023











