Tangani segera konflik haiwan liar dan manusia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Dewan Rakyat akan terus memantau kejadian berkaitan ancaman hidupan liar terhadap pengusaha kebun dan ladang di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata, pihaknya turut mengadakan libat urus dengan agensi kerajaan yang terlibat menjaga kebajikan manusia dan kehidupan haiwan liar dapat dijaga sebaik mungkin.

- Advertisement -

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) diharap dapat melaksanakan langkah pencegahan segera bagi mengelak isu tersebut terus berlarutan.

“Kita telah mengadakan satu sesi perbincangan mengenai ancaman hidupan liar bersama PERHILITAN pada 15 November lalu dengan beberapa masalah dibincangkan, termasuk kemalangan membabitkan hidupan liar.

“Selain itu, serangan hidupan liar dan anggaran kerugian akibat serangan ini ke atas tanaman, ternakan, harta benda dan langkah yang telah diambil agar risiko serangan dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pihaknya memandang serius kejadian serangan haiwan liar seperti harimau dan gajah terhadap pengusaha kebun dan ladang di seluruh negara kebelakangan ini.

Jika konflik antara haiwan liar dan manusia, katanya tidak ditangani, ini akan menjejaskan pengeluaran komoditi seperti getah dan kelapa sawit selain menjejaskan mata pencarian penduduk.

Malah, katanya media massa kerap membuat laporan mengenai insiden terbabit yang berlaku di Kelantan seperti Sungai Bayu dan Kampung Kuala Tol di Gua Musang yang mengorbankan empat nyawa sepanjang 2023.

Terbaharu, katanya insiden melibatkan pekerja ladang warga Indonesia yang maut dipercayai dilanyak oleh seekor gajah di Ladang Upayapadu, Sungai Bayu pada 4 Disember lepas.

“Selain itu, pada Rabu, 29 November 2023 seorang lelaki dilaporkan diserang hendap oleh harimau ketika menoreh getah berhampiran Kampung Kuala Tol, Gua Musang, Kelantan.

“Sepanjang 2023, empat laporan maut akibat serangan harimau di Gua Musang telah dilaporkan. Jawatankuasa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -