Air: Tahun ini sahaja dua kali rakyat demonstrasi

- Advertisement -

Dalam sesi perbahasan ini saya ingin menyentuh beberapa perkara:

- Advertisement -

Keterjaminan makanan

Sejak akhir-akhir ini berlaku krisis bekalan beras SST di pasaran semasa harga beras import naik secara mendadak. Beras SST pula hilang di pasaran. Hasil daripada itu beberapa Negeri telah mengambil langkah pro aktif untuk menghasilkan beras sendiri.

Saya mencadangkan kerajaan memajukan semula kawasan tanaman padi yang telah terbiar sekian lamanya. Mengikut rekod Jabatan Pertanian, Pahang Masih lagi mempunyai tanah terbiar paling tinggi iaitu seluas 29,391 hektar atau 11,292 lot. (Paling sedikit Negeri Perlis, 12 hektar). Kawasan yang paling luas – Bentong (9,510.40 hektar).

Definisi tanah terbiar ialah kawasan yang tidak diusahakan selama 3 tahun berturut yang melebihi 0.4 hektar – tanah darat atau sawah. Maka kempen secara besar-besaran boleh dimulakan dari sekrang. Untuk peringkat permulaan boleh diberi bantuan asas kepada yang betul-betul berminat seperti input pertanian mengikut kaedah tertentu.

Dengan keluasan yang ada Negeri Pahang boleh menghasilkan makanan/beras sebanyak 29391 x 4 tan/hektar = 117,564 met/tan. Dengan jumlah tersebut ia dapat memberi impak besar kepada sumber makanan bukan sahaja rakyat Negeri Pahang malah menaikkan taraf ekonomi B40 daripada golongan petani. Tanah terbiar juga dapat berkurangan. Pergantungan negara terhadap beras import juga akan berkurangan.

Pemilikan tanah

Saya sering mendapat aduan mengenai proses pemilikan tanah yang terlalu lama. Ada pemohon yang sudah memohon 15 sehingga 30 tahun tetapi belum mendapat geran seperti tanah di rancangan tanah kelompok. Ada yang sudah mengusahakan secara TOL, tetapi akhirnya ditolak. Proses pemilikan skala kecil seperti keluasan 1 hingga 3 ekar juga lambat.

Kelewatan pemberian geran akan membantutkan proses penempatan secara sah kepada rakyat. Ia juga akan memberi kesulitan apabila proses hibah atau faraid apabila pemilikan asal meninggal dunia. Maka tanah tersebut berpontensi menjadi tanah terbiar akibat tidak selesai wasiat pusaka

Sekolah Agama Rakyat

Dalam kawasan Parlimen Temerloh hanya terdapat 2 buah Sekolah Agama Kerajaan Negeri, iaitu Sekolah Agama Al Wusto. Dua buah sekolah tersebut tidak mampu menampung permintaan pelajar yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Saya memohon supaya diwujudkan sebuah sekolah agama di bandar Lanchang memandangkan ia berada di tengah-tengah antara Bentong dan Temerloh. Manakala di Lanchang juga terdapat 2 buah Felda yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai.

Gerai majlis dan pihak berkuasa tempatan

Seperti yang dimaklumkan bahawa antara tujuan gerai di bina adalah untuk memberi kemudahan kepada golongan perniaga berniaga secara teratur. Persoalannya masih banyak terdapat gerai-gerai yang dibina tidak disewa atau disewa tetapi penyewa tidak berniaga. Akhirnya gerai tersebut terbiar kosong menjadi tempat anjing liar berkeliaran seperti Gerai MPT Jalan Mempatih Lanchang. Hasil daripada tinjauan dibuat:

i. Penyewa yang berjaya memohon adalah bukan daripada golongan peniaga dan menyewa pula kepada orang lain dengan kadar harga yang tinggi. Menyebabkan pihak kedua tidak mampu membayar sewaan berbanding jualan yang didapati.

ii. Lokasi yang tidak strategik. Susun atur yang tidak menarik seperti terlindung dan sebagainya.

iii. Ruang letak meja dan kerusi terlalu sempit menyebabkan dalam tempoh masa tertentu pelanggan kurang tempat.

a) Saya mencadangkan supaya penyewa yang berjaya ditawarkan premis diberikan tempoh tertentu dan jika tidak berniaga diberi kepada pemohon yang berminat dan telah sedia ada perniagaannya.

b) Kekurangan ruang tempat letak meja boleh diatasi dengan membina bumbung yang luas seperti (food court). Dan peniaga boleh berkongsi tempat duduk pelanggan dan pelanggan juga mudah mengambil pesanan.

c) Dengan itu tapak tersebut dapat dimajukan  seperti yang dikehendaki selain jualan peniaga juga meningkat serta menghidupkan bandar tersebut.

Bekalan air besih

Dalam Al Quran, Allah ada berfirman surah an-Nahli ayat 65 yang bermaksud: “Dan Allah menurunkan dari langit air hujan dan dengan air itu dihidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mendengarkan”.

Maka sekali lagi Lanchang memohon supaya disegerakan pembinaan loji rawatan dan bekalan air bersih di Kg. Mempateh yang pernah diumumkan oleh PM ke-9 yang lalu.

Krisis bekalan air ke Lanchang agak kritkal kerana ia jauh dari Loji Lubuk Kawah. Ditambah pulak dengan kekerapan kebocoran paip paip lama ini pecah sentiasa berlaku. Rakyat yang menghadapi sekian lama akan hilang kesabaran, akhir berlaku perkara yang tidak sepatutnya seperti demonstrasi di tepi jalan. Tahun ini sahaja sudah 2 kali demonstrasi.

Keseriusan dari kerajaan menangani masalah ini amat penting kerana kita perlu sedar di Lanchang sekarang mempunyai Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah serta Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal.

Ia bukan sahaja dikunjungi pelancong dalam dan luar negeri tetapi Duli Yang Maha Tuanku juga sering mencemar duli turun ke Lanchang. Maka sudah pasti nama baik perlu dijaga.

Dengan bekalan air yang mencukupi juga ia akan merancakkan pembangunan bandar, seperti taman-taman perumahan baru, premis perniagaan dapat dimajukan.  – HARAKAHDAILY 7/12/2023

Petikan ucapan ADUN Lanchang, Hasan Omar semasa membahaskan Bajet 2024 Negeri Pahang pada persidangan DUN Pahang 5 November lalu.

- Advertisement -