Peruntukan ADUN: N Sembilan wajar contohi negeri PN

- Advertisement -

SEREMBAN: Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting) menyarankan agar Kerajaan Negeri Sembilan mencontohi negeri-negeri di bawah pentadbiran PERIKATAN NASIONAL yang memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang di negeri-negeri tersebut.

- Advertisement -

Menurut beliau, tanpa peruntukan itu, wakil-wakil rakyat pembangkang di Negeri Sembilan sukar untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing yang memerlukan bantuan sekurang-kurangnya bagi kerja-kerja kecil seperti pembaikan rumah.

“Saya ingin menegaskan agar peruntukan tersebut dapat dirasai bersama dan diuruskan oleh wakil rakyat pembangkang yang ada ini.

“Apabila rakyat memohon perkara berkaitan, maka kami ini tidak dapat membantu melainkan menyerahkan kepada DO Pejabat Daerah dan juga agensi yang lain,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan 2024 negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pejabat Daerah Jempol di kawasannya yang selama ini memberi kerjasama yang sangat baik dalam menyelesaikan masalah rakyat yang diadukan pihaknya.

“Dari sudut flow kerja, dah betul dah tu. Tapi paling tidak hal berkaitan bantuan membaiki atap bocor, dinding roboh dan lain-lain kerja kecil sepatutnya wakil rakyat boleh uruskan. Tapi bila kita tiada saluran bantuan maka dibebankan kepada pihak terbabit tersebut.

“Oleh itu Serting mencadangkan agar peruntukan kesejahteraan rakyat diberikan secara saksama kepada semua. Janganlah ada ADUN angkat yang menguruskan lima kawasan pembangkang ini.

“Kerana kami pun mampu untuk menguruskan kawasan kami, sekiranya kerajaan negeri bertindak sepertimana kerajaan di Negeri Kedah dan juga Kelantan yang memberikan ruang dan peluang kepada Adun pembangkang menguruskan DUN mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -