
KUALA LUMPUR: Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membangkitkan isu memperkasakan dan memartabatkan mahkamah syariah dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha memartabatkan mahkamah syariah.
“Saya amat berharap agar isu-isu besar berkaitan konflik antara undang-undang syariah dan sivil, selain pertindihan kuasa antara negeri dan persekutuan dapat diminimumkan walaupun saya rasa agak mustahil untuk diselesaikan sepenuhnya
“Mengapa saya fikir agak mustahil untuk diselesaikan sepenuhnya? Pertama, sifat undang-undang Islam yang menyeluruh dan telah sempurna. Maka, ia akan sentiasa menyaingi undang-undang sivil sedia ada hari ini.
“Hal ini, akan ada satu tekanan yang mencabar kekuatan undang-undang sivil daripada umat Islam sendiri yang melihat bahawa hukum Islam telah sempurna dan adil sebagaimana yang terkandung dalam rujukan utama, al-Quran dan hadis Nabi SAW,” katanya.
Selain itu, katanya pengagihan kuasa kepada mahkamah syariah adalah amat kecil bahkan dalam ruang-ruang tertentu kelihatan kelabu dan tidak jelas sehingga mendorong kumpulan tertentu yang anti undang-undang Islam untuk mencabar keabsahan undang-undang syariah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeru (Dun).
Ketiga, katanya umat islam adalah terbeban oleh agama mereka untuk berhukum dengan hukum yang selaras dengan undang-undang Islam.
Beliau berkata, kewujudan hukum-hukum tertentu dalam undang-undang sivil yang bertentangan dengan undang-undang Islam telah mencetuskan satu desakan berterusan umat Islam untuk berhukum dengan hukum-humum Islam demi mereka mencapai keredhaan Allah SWT.
“Akhir sekali, walaupun harapan kita adalah besar kepada jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan nanti, penyelesaian sebenar kepada konflik pertindihan kuasa dan undang-undang dalam negara kita adalah dengan memastikan undang-undang sivil terus dibaiki dan ditambah baik sehingga selaras dengan undang-undang syariah yang sifatnya adalah adil dan menyeluruh.
“Itulah tugas kita. Tugas kita terutama sekali ahli-ahli parlimen daripada kalangan umat Islam, sama ada di Dewan Negara atau Dewan Rakyat untuk terus memastikan undang-undang sivil negara kita ini tidak bertentangan dengan undang-undang syariah.
“Semoga negara kita akan sampai kepada pelaksanaan undang-undang yang adil dan mendapat perkenan Allah.. Tuhan yang maha adil dan maha penyayang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023











