
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mendedahkan terdapat beberapa aplikasi yang berpotensi menimbulkan masalah dari segi privasi dan kerahsiaan negara dan rakyat.
Beliau berkata, terdapat beberapa aplikasi yang penggunaan disekat di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, India dan Jepun.
Katanya, tindakan negara berkenaan sepatutnya memberikan kesedaran kepada kerajaan untuk melakukan sesuatu terhadap aplikasi tersebut yang identitinya tidak mahu didedahkan.
“Jadi kalau katakan, kajian negara lain pun sudah tentu Amerika Syarikat dan India sudah buat, macam mana pula dengan pendirian negara kita mengenai perkara ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching menyatakan bahawa kerajaan sendiri akan menjalankan kajian itu walaupun telah dibuat oleh negara lain.
Menurutnya, kerajaan perlu mempunyai pendirian sendiri yang memerlukan bukti kukuh, sama ada aplikasi yang digunakan di negara ini selamat atau sebaliknya.
“Sekiranya kami menerima bukti yang kukuh menunjukkan bahawa sesuatu teknologi, aplikasi atau peralatan tidak selamat, maka kerajaan akan mengambil tindakan segera untuk menghentikan aplikasi tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023











