
SEMUA sedia maklum bahawa Dato’ Sri Ahmad Samsuri Bin Mokhtar telah memperoleh kemenangan di PRK P.040 Kemaman pada Sabtu lepas. Kemenangan ini melihatkan majoriti meningkat berbanding pada PRU ke-15 yang lepas. Dato’ Sri Ahmad Samsuri menang pada PRK Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi iaitu dengan majoriti 37,220 undi manakala calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya memperoleh 27,778.
Data pengundi
Jumlah keseluruhan undi yang diterima adalah sebanyak 92,776 daripada 141,790 pengundi berdaftar di Parlimen Kemaman. Ini bersamaan 66 peratus pengundi yang berdaftar telah keluar mengundi pada PRK P.040 Kemaman pada Sabtu lalu. Pecahan peratusan keluar mengundi mengikut kaum dengan Melayu 67 peratus, Cina 38 peratus dan India 30 peratus.
Pada PRU Ke-15, PAS hanya mendapat 64 peratus sokongan masyarakat Melayu dan pada PRK Kemaman 2023 meningkat sokongan sebanyak 72 peratus. Penambahan sokongan sebanyak 8 peratus undi ini menunjukkan majoriti masyarakat memihak kepada PAS. Berbanding BN, pada PRU Ke-15 mereka mendapat sokongan 36 peratus masyarakat Melayu dan pada PRK kali ini sokongan itu menurun sebanyak 8 peratus. Biarpun BN pada masa ini bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan di peringkat pusat.
Undi 18 memainkan peranan?
PRU Ke-15 tahun lepas menyaksikan sokongan pengundi muda memilih kepada PERIKATAN NASIONAL berbanding gabungan parti lain. Terengganu sebagai negeri ke-2 teramai pengundi muda selepas Putrajaya turut merasai tempias sokongan ini apabila berjaya mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri yang lepas.
Sokongan pengundi muda juga pada PRK Kemaman ini turut meningkat kepada PAS dengan 11 peratus. Mereka mendapat 66 peratus sokongan pada PRU ke-15 dan pada PRK ini mendapat 77 peratus sokongan. Manakala Barisan Nasional (BN) pula merosot sokongan mereka apabila pada PRU Ke-15 mendapat 34 peratus dan kali ini hanya 23 peratus.
Dari dapatan ini, boleh kita simpulan sokongan golongan majoriti terhadap PAS dan PN semakin bertambah dan diterima baik sebagai wakil suara mereka di peringkat Dewan Parlimen dan Dewan Negeri. Bagi BN dan PH, gabungan ini perlu menilai semula dasar dan keputusan yang dibuat apabila masih lagi tidak mampu menarik minat pengundi majoriti dalam negara.
QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 4/12/2023
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan
2. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1184538/prk-kemaman-isyarat-rakyat
3. https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-pengundi-muda-undi-penentu-387929
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











