Tidak umum bonus penjawat awam jadi tarikan rakyat

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keputusan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak mengumumkan bonus dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2024 adalah satu daya tarikan kepada rakyat.

- Advertisement -

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu merupakan satu keberanian Dr Samsuri selaku calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak menggunakan bajet negeri sebagai gula-gula pilihan raya.

“Jadi semalam juga menjadi satu daya tarikan rakyat Terengganu apabila pembentangan bajet semalam, YB menteri tidak memperincikan bajet yang berjumlah RM1.826 bilion kepada portfolio kerana untuk menjaga SOP pilihan raya kerana beliau merupakan calon di Parlimen Kemaman.

“Saya terus membuat survey rata-rata mengatakan pengumuman bajet negeri Terengganu yang tak didetailkan itu satu tindakan yang baik pada ketika ini.

“Tidak sepertimana dengan BN Umno setiap kali pilihan raya dia umum bajet, dia guna jentera kerajaan. Kita masih lagi bertahan tidak menggunakan jentera kerajaan, kita lawan setakat mana kita mampu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu negeri berkata demikian ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Menurut Razali, pihaknya bersedia untuk menghadapi PRK Parlimen Kemaman walaupun perlu menghadapi musim tengkujuh.

“Kalau hujan juga kita telah buat persiapan, kita bersedia dengan pengangkutan jentera untuk mengenal pasti di mana pengundi-pengundi yang terkesan dengan banjir.

“Persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) pun kita begitu hebat dan memuaskan dan saya melihat ke seluruh terutama Dun saya iaitu Kijal maka ada 10 PPS.

“Jentera kita pun bersiap siaga untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir dan juga pengundi ini,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kijal menjangkakan peratusan pengundi keluar mengundi tidak berubah dari sebelum ini.

“Saya jangka kurang daripada 80 peratus tetapi undian kita insya-Allah akan kekal cuma nak pastikan pengundi yang luar daripada parlimen Kemaman untuk balik itu sahaja.

“Kita tengah berusaha sekarang ini untuk memastikan pengundi yang mengundi kita tempoh hari saudara mara semua bawa balik, tapi yang tempatan ini saya rasa mungkin ada pertambahan dan sasaran kita (majoriti) 30,000 (undi), insya-Allah kita akan dapat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -